Disember 20, 2024

Persatuan Pelajar PEMETA dan GEOINFO bergabung raikan Geosyawal 2023

JOHOR BAHRU, 19 Mei – Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023, persatuan pelajar program Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) iaitu Persatuan Mahasiswa Ukur Tanah (PEMETA) dan Kelab GEOINFO telah menjayakan sambutan Geosyawal yang telah berlangsung dengan jayanya.

Sambutan seumpamanya yang diadakan adalah merupakan sambutan tahun kedua dan kehadiran pelajar pada sambutan Geosyawal 2023 ini adalah lebih dari 350 orang daripada program Kejuruteraan Geomatik dan program Geoinformatik.

Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran Dekan FABU, Profesor Sr Dr. Kherun Nita Ali dan Pengarah Geoinformasi, Profesor Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa serta beberapa pensyarah kanan iaitu Sr Dr. Othman Zainon, Dr. Wan Anom Wan Aris, Dr. Hanif Hamden, Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim dan ramai lagi.

Program Geosyawal ini adalah merupakan program yang dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar dari kedua persatuan pelajar dan ianya dapat mengasah bakat pelajar terutamanya dari segi kepimpinan, kreativiti, tanggungjawab, komunikasi dan bekerjasama dalam kumpulan.

Selain jamuan makan yang disajikan dengan pelbagai menu seperti lemang, ketupat, rendang, nasi impit dan laksa Johor; urus setia juga dapat merancang sesi bergambar bersama kesemua kumpulan pelajar dari tahun 1 hingga tahun akhir bagi kedua-dua program.

Program turut diserikan dengan pemilihan pelajar posting raya paling segak dan menawan menggunakan platform Instagram.

Secara kesimpulannya, program Geosyawal ini patut diteruskan saban tahun bagi memastikan jalinan yang terjalin antara para pelajar dan pensyarah dapat dipupuk dari semasa ke semasa.

Menyingkap bait kata ucapan perasmian oleh Dekan FABU “Ciptalah memori pelajar-pelajar semua melalui program seumpama ini bilamana anda semua masih di UTM kerana ianya bakal dikenang kelak setelah semuanya ditinggalkan”.

 

 

Explore More