• Trend ini boleh menyebabkan tenaga mahir dan profesional negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, perakaunan, kejuruteraan dan farmasi merosot
• Model Baharu Pembangunan Belia diharapkan dapat menjadi tonik mujarab bagi membangunkan generasi masa hadapan sasa, kritis, inovatif serta kalis cabaran
Anak muda adalah harapan agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Anak muda sering disebut sebagai pengganti kepemimpinan negara. Wajah dan karakter anak muda yang ada pada hari ini adalah gambaran kepemimpinan negara pada masa hadapan.
Jika anak muda pada hari ini berkualiti tinggi dari segi nilai, pemikiran, sikap, tingkah laku dan pengetahuan, maka inilah anak muda boleh diharapkan memimpin dan memakmurkan negara suatu hari nanti. Jika sebaliknya, anak muda ini tetap memimpin negara.
Justeru, sebelum terlambat dan lebih gawat, anak muda ini perlu dibimbing dan dididik supaya dapat memilih jalan hidup jelas dan berwawasan. Pada ketika ini, berdasarkan data Jabatan Statistik suku pertama 2023 terdapat 11.5 juta anak muda, mewakili 35 peratus daripada keseluruhan penduduk iaitu 33.1 juta.
Ia suatu jumlah besar. Anak muda dalam konteks ini, termasuk awal remaja, remaja, awal dewasa dan dewasa iaitu berusia antara 15 hingga 39 tahun. Lingkungan umur ini disebut sebagai belia. Namun, anak muda dalam kategori awal remaja dan remaja iaitu antara 14 hingga 19 tahun adalah tahap paling mencabar dan kritikal.
Terdapat 2.8 juta anak muda berada dalam kategori rentan ini iaitu mudah terdedah serta berisiko melakukan penyimpangan sosial seperti kelucahan, ponteng sekolah, merokok, vandalisme dan gangsterisme.
Di Malaysia, anak muda dalam kategori berisiko ini seharusnya diberi perhatian lebih komprehensif. Kebanyakan daripada mereka berisiko ini dipengaruhi lokasi kediaman, latar belakang dan hubungan kekeluargaan, tingkat semangat, pergaulan bebas dengan rakan sebaya serta pengaruh media sosial.
Sumber : Berita Harian – 3 Jun 2023