JOHOR BAHRU: Beberapa penuntut dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) turut teruja memulakan sesi pengajian apabila mendaftar masuk di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini semalam.
Seorang penuntut, Nur Hanis Zainalabidin, 19, mengakui gementar, namun tetap gembira untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya apabila mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia.
“Bukan sahaja saiz kampus yang besar, tetapi ini pertama kali saya tinggal di hostel dan berjauhan daripada keluarga. Jadi, macam-macam yang saya rasakan ketika ini,” katanya ditemui selepas sesi pendaftaran penuntut baharu UTM, semalam.
Nur Hanis dilahirkan dengan menghidap masalah ‘pseudo achondroplasia’ iaitu masalah ketumbuhan yang menyebabkan badannya kelihatan seperti kanak-kanak dan walaupun sudah berusia 19 tahun. Anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu, dia akan cepat berasa penat sekiranya perlu berjalan terlalu jauh, sehingga boleh menyebabkan demam.
“Saya memerlukan tongkat untuk membantu berjalan lebih lagi apabila melibatkan jarak yang jauh atau perlu menaiki tangga yang tinggi, saya perlu berhenti untuk berehat sebentar,” katanya yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat.
Seorang lagi penuntut OKU, Nur Billahizzah Razib, 20, turut tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.
Dia yang menghidap penyakit ‘cerebral palsy’ melibatkan saraf tulang belakang juga enggan melihat kekurangan itu sebagai penghalang kejayaan.
Sumber : Utusan Malaysia 11 Oktober 2022