April 27, 2024

Search
Close this search box.

‘Student Lounge’ Fakulti Komputeran ruang santai baharu mahasiswa UTM

JOHOR BAHRU, 8 Mei – Dalam usaha berterusan untuk menjadi antara fakulti terkehadapan dalam memberi keselesaan kepada mahasiswa sepanjang menjalani pengajian di universiti ini, Fakulti Komputeran kini melancarkan FC Student Lounge pada 7 Mei 2023 yang lalu.

Naib Canselor Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail ketika dalam ucapan perasmian menekankan betapa pentingnya ekosistem yang kondusif untuk mahasiswa menikmati kehidupan di kampus dengan ceria sekali gus bersemangat untuk mencipta pelbagai kejayaan.

Naib Canselor Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail menyempurnakan ‘gimmick’ pelancaran (Gambar: Halid Jamaluddin)

“Kemudahan itu adalah sebahagian daripada agenda penting universiti yang mengutamakan kebajikan mahasiswa dari aspek fasiliti,” tambahnya lagi.

Jawatankuasa Pengurusan FC Student Lounge terdiri dari pelajar fakulti menerima watikah lantikan (Gambar: Halid Jamaluddin)

Menurut Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir, usaha mewujudkan FC Student Lounge telah dimulakan sejak tahun 2020 oleh Task Force yang diketuai oleh Dr. Mohd Fo’ad Rohani, Naib Pengerusi (Fasiliti) Fakulti Komputeran ketika itu, Prof. Madya Ts. Dr. Shahida Sulaiman dan Ts. Marina Md Arshad sebelum direalisasikan melalui pasukan fasiliti semasa yang diketuai oleh Ts. Mohd Hazri Ishak.

Pelaksanaan kemudahan ini menelan kos keseluruhan sebanyak RM 165,330.00. Sebahagian kos yang terlibat adalah dibiayai melalui sumbangan daripada industri, Endowmen FC dan sumbangan wakaf. Dua penyumbang besar dana bagi membiayai kemudahan ini adalah daripada GATES IT Solution Sdn. Bhd. dan Prof. Dr. Abdul Samad Ismail yang juga merupakan mantan Dekan fakulti ini.

Prof. Dr. Abdul Samad Ismail menandatangani sudut khas penyumbang utama (Gambar: Halid Jamaluddin)

Sementara itu, sebuah Jawatankuasa Pengurusan FC Student Lounge yang terdiri daripada pelajar fakulti ini telah dibentuk bagi melancarkan urusan dan kerja kawal selia penggunaan serta apa juga aktiviti di Student Lounge.

Muhammad Khairul Azhar Abdul Kahar yang mengetuai jawatankuasa ini mengharapkan setiap mahasiswa dapat memanfaatkan sebaiknya segala kemudahan yang telah disediakan di ruangan ini.

“Kami berterima kasih kepada pengurusan universiti serta fakulti yang prihatin dengan kebajikan dan kehendak mahasiswa untuk menikmati kemudahan serta suasana pembelajaran yang kondusif,” katanya.

 

Muhammad Khairul Azhar Abdul Kahar (paling kanan) berharap setiap mahasiswa memanfaatkan segala kemudahan di FC Student Lounge ini sebaiknya. (Gambar: Halid Jamaluddin)

Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Siti Zaiton Binti Mohd Hashim, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) Fakulti Komputeran, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, wakil-wakil fakulti, Pengarah dan wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) UTM serta barisan Pengurusan Fakulti Komputeran.

 

Explore More