November 22, 2024

Search
Close this search box.

Setiap kali tibanya bulan Ramadan Al-Mubarak maka bermulalah sesi menahan lapar dan dahaga bagi seluruh umat Islam di segenap pelusuk dunia ini.

Selain manahan lapar dan dahaga, rukun Islam ketiga ini juga menuntut umatnya untuk berbuat baik sesama insan lain dengan dijanjikan ganjaran pahala yang melebihi daripada bulan-bulan yang lainnya.

Mengambil fadilat bulan Ramadan ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil langkah yang proaktif menjalankan aktiviti kebajikan bagi disalurkan kepada pihak yang memerlukan melalui pelbagai aktiviti anjuran pelbagai jabatan dan juga kelab kakitangan.

Jabatan Pendaftar telah menyokong langkah ini dengan menjalankan program Anjung Kasih yang dilancarkan oleh Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail pada 2 Mac 2023 ketika Majlis Apresiasi Pendaftar.

Program yang mula beroperasi pada 30 Mac ini bertempat di Anjung Wawasan (bersebelahan dengan lif) di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim berupa almari yang dipenuhi dengan bahan makanan asas iaitu beras, minyak masak, gula, tepung, makanan dan minuman segera.

Program Anjung Kasih ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Jabatan Pendaftar dengan kerjasama wakil-wakil persatuan di UTM bagi membantu staf dan pelajar yang memerlukan dan kurang berkemampuan.

Unit Endowmen juga tidak ketinggalan dalam menyertai aktiviti kebajikan sepanjang bulan Ramadan ini apabila menjalankan aktiviti Jualan Biskut Raya dimana hasil jualan akan dimasukkan ke dalam tabung endowmen bagi membantu mahasiswa dan kakitangan yang memerlukan.

Sebagai pemacu aktiviti kebajikan sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak, Pusat Islam UTM memainkan peranan yang agak agresif dalam menjalankan aktiviti menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan di sepanjang bulan mulia ini.

Antara aktiviti kebajikan yang dijalankan Pusat Islam UTM adalah Iftar 1000 orang, Dana Ramadan dan Bantuan Asnaf (juga dijalankan sepanjang masa).

Program Iftar 1000 orang ini dijalankan pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan dengan Pusat Islam mengambil inisiatif menyediakan juadah untuk 1000 orang berbuka puasa.

Melalui program ini, seramai 1000 orang mahasiswa, staf dan juga komuniti sekitar UTM yang hadir berbuka dihidangkan dengan juadah makanan di dalam dulang dengan lauk yang diberikan secukupnya tanpa ada sebarang pembaziran.

Kesemua juadah berbuka puasa ini disediakan oleh sukarelawan yang terdiri dari mahasiswa dan staf UTM yang kini kesemuanya berjumlah 150 orang.

Pusat Islam juga mengambil inisiatif dalam menyelenggara dan mengutip sumber kewangan bagi membiayai aktivitinya sepanjang bulan ramadan ini melalui penubuhan Dana Ramadan yang dilancarkan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Kutipan dana ini digunakan untuk membiayai Program Iftar 1000 orang, moreh dan juga pelbagai aktiviti Pusat Islam di sepanjang ramadan.

Bantuan Asnaf adalah salah satu program kebajikan yang dikelolakan oleh Pusat Islam UTM yang dikendalikan sepanjang tahun dengan tujuan utamanya memberikan bantuan kepada yang  memerlukan di kalangan staf dan mahasiswa universiti ini.

Program yang mendapat dana dari tabung zakat UTM ini memberikan pelbagai bentuk bantuan yang tidak terhad dalam bulan ramadan sahaja tetapi sepanjang tahun.

Bagi menyokong aktiviti ini dan menentukan setiap permohonan diberikan pertimbangan yang sewajarnya, mesyuarat bagi kelulusan permohonan diadakan pada setiap minggu dengan setiap permohonan dilihat secara teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam meluluskan permohonan.

Untuk bantuan Aidilfitri 2023 ini sebanyak RM25,000.00 telah diperuntukkan untuk 100 orang (RM250.00 seorang). Bantuan diberikan dalam bentuk wang tunai dan juga barangan keperluan kepada asnaf berkelayakan dan akan disampaikan sebelum sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Adalah diharapkan dengan bantuan yang disediakan oleh UTM ini akan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada yang memerlukan sekaligus membolehkan golongan ini merayakan Aidilfitri sebagaimana insan yang lain.

Sukarelawan MSI menyiapkan juadah berbuka puasa untuk Program Iftar 1000 orang anjuran Pusat Islam UTM.
Barisan Sukarelawan Majlis Iftar 1000 orang anjuran Pusat Islam UTM. Kumpulan inilah yang bertanggungjawap menyiapkan hidangan iftar bagi program ini sepanjang bulan ramadan.

Explore More