April 28, 2024

Search
Close this search box.

Lawatan penanda aras JTS Sarawak ke UTM Digital buka peluang jalinan kerjasama bidang sistem maklumat

JOHOR BAHRU, 19 Mac – Satu lawatan penanda aras telah dijalankan oleh Cawangan Sistem Maklumat, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak ke UTM Digital.

Melalui jalinan kerjasama yang dimaterai melalui penubuhan Makmal Satelit Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU)- JTS Sarawak, seramai dua puluh (20) orang kakitangan daripada Cawangan Sistem Maklumat telah melawat bagi mendapatkan hala tuju berkenaan sistem-sistem maklumat yang terdapat di UTM.

Delegasi lawatan telah dibawa ke sesi ramah mesra bersama dengan Profesor Sr Dr. Kherun Nita Ali, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur dan pensyarah-pensyarah kanan FABU.

Selesai sesi ramah mesra tersebut, delegasi lawatan telah dibawa melawat ke kolej-kolej kediaman serta lokasi-lokasi utama seperti Lingkaran Ilmu, fakulti-fakulti, Stadium UTM serta pelbagai lagi tarikan menarik di UTM.

Ini merupakan satu peluang kepada delegasi-delegasi yang sebahagiannya adalah alumni UTM untuk merasai semula pengalaman di samping mengimbau kenangan mereka di UTM dulu.

Seterusnya, delegasi lawatan dibawa ke sesi perbincangan bersama dengan pegawai-pegawai di UTM Digital.

Delegasi telah disambut oleh Puan Siti Mariyam Mamat, Timbalan Pengarah Bahagian Inovasi Digital bersama kumpulan kerja beliau.

Selain pembentangan daripada pegawai daripada Bahagian Inovasi Digital, para delegasi juga dibawa melawat ke ruang kerja dan bilik server yang terdapat di UTM Digital.

Secara kesimpulannya, sesi lawatan dan perbincangan antara JTS-UTM Digital ini diharapkan akan membuka ruang kerjasama yang padu antara JTS dan UTM terutama dalam bidang sistem maklumat.

Perkongsian antara kedua pihak diharapkan dapat membuahkan hasil serta kaedah penyelesaian baharu terutama kepada pelaksanaan Sistem LASIS (Land and Survey System of Sarawak) oleh JTS Sarawak.

Lawatan ini juga telah memperkukuhkan lagi aktiviti makmal satelit FABU, UTM-JTS, Sarawak.

 

 

Explore More