April 27, 2024

Search
Close this search box.

Oleh : Dr Noor Aimran Samsudin, Dr Nafisah Abdul Rahiman

JOHOR BAHRU, 29 Mac.- Seramai tiga orang pensyarah muda (bawah 40 tahun) daripada Universiti Teknologi Malaysia iaitu Dr. Nafisah Abdul Rahiman dan Dr. Noor Aimran Samsudin (Fakulti Alam Bina dan Ukur, FABU) dan Dr. Nina Diana Nawi (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, FSSK) telah dipilih oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) untuk menyertai sebuah program sangkutan di industri selama enam bulan.

Pensyarah dan staf terpilih telah ditempatkan di syarikat dan agensi terpilih secara sepenuh masa.

Program yang dikenali sebagai CEO@Faculty (CEF) merupakan inisiatif kementerian untuk mendedahkan Pensyarah Muda termasuk kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) dengan pengalaman kepimpinan di industri dan pelbagai agensi kerajaan.

Seramai hampir 40 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan kumpulan P&P telah terpilih di seluruh Malaysia.

Pendedahan kepada persekitaran dan budaya kerja yang berbeza dipercayai dapat membantu kumpulan ini menimba pengalaman bagi mempersiapkan diri untuk menerajui jawatan strategik di universiti masing-masing pada masa hadapan.

Antara objektif utama pelaksanaan program CEF ialah menyediakan platform pendedahan industri kepada pensyarah muda dan kumpulan pengurusan dan profesional, di samping peluang memperoleh pengalaman dan pengetahuan secara bimbingan peribadi daripada CEO dan kepimpinan tertinggi syarikat/agensi sangkutan.

Peserta program juga turut berperanan secara inklusif dan komprehensif di dalam memacu jalinan kolaborasi industri dan universiti yang berimpak tinggi; dan dalam masa yang sama menyebarluaskan pengalaman di industri dengan memupuk nilai etika kerja efisien kepada pensyarah muda dan kumpulan pengurusan dan profesional serta memperkukuhkan budaya kerja di universiti ke arah kecemerlangan korporat.

Penempatan staf UTM di IRDA telah meningkatkan peluang kerjasama antara agensi-universiti melalui sesi perkongsian ilmu, kepakaran, khidmat nasihat dan geran yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak pada masa hadapan.

Staf UTM telah ditempatkan di bawah kepimpinan Ketua Eksekutif IRDA iaitu Y Bhg. Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim dan telah dilibatkan dengan pelbagai projek serta program di inisiatif Rancangan Pembangunan Komprehensif ke-3 (CDPiii).

Beberapa projek/tugasan yang siginifkan telah disertai antara lain adalah penyediaan Comprehensive Development Plan (CDPiii), Greater  Johor Bahru (GJB), Integrated Urban Services (IUS), Bandar Pintar dan Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) dan Bandar Rendah Karbon. IRDA merupakan Pihak Berkuasa yang dipertanggungjawabkan membangunkan kawasan pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia (IM) sejak tahun 2006 dengan jumlah keluasan melebihi 2,300 kilometer persegi.

Penglibatan staf UTM dalam program dan projek memperkukuhkan lagi peranan universiti sebagai salah satu komponen utama di zon ekonomi Flagship E di Iskandar Malaysia.

Koleksi gambar bersama YBhg. Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim, Ketua Eksekutif IRDA selaku mentor kepada peserta UTM

Explore More