November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 8 Apr.- Walaupun dikenali sebagai universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi, itu tidak menghalang sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) untuk berjinak-jinak dalam bidang penternakan arnab secara lestari.

Projek penternakan arnab “Sustainable Rabbit Farming” ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pertanian mampan yang menyokong agenda lestari “KTHO Living Lab”, sesuai dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagaimana yang digagaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Arnab yang diternak di Makmal Hidup Fakulti Sains UTM.

Projek penternakan arnab ini memfokuskan beberapa elemen penting seperti penggunaan sumber protein alternatif yang mampan, antaranya lalat askar hitam (black soldier fly-BSF) dan ketum ayam (madre de agua). Penggunaan protein alternatif ini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan seperti dedak dan pelet khas.

Di samping itu, projek ini juga menjadi satu platform untuk meneroka potensi tinja  arnab sebagai sebahagian daripada formulasi baja kompos organik. Ini kerana tinjak arnab mengandungi kandungan nitrogen dan potassium yang tinggi, sekali gus melengkapkan nutrien untuk pembajaan.

Inisiatif “Sustainable Rabbit Farming” juga dilihat sebagai salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan mahasiswa, sekali gus menanam minat yang mendalam terhadap penternakan arnab dalam kalangan mahasiswa UTM terutama dalam kalangan penghuni KTHO.

Pengurusan ternakan turut memfokuskan kebersihan kandang arnab.
Penjagaan kesihatan turut dititikberatkan dalam projek penternakan arnab.

“Antara sebab arnab dipilih adalah kerana disebabkan tempoh matang yang cepat untuk arnab disembelih iaitu kira-kira tiga bulan selepas kelahiran. Berbanding haiwan ternakan lain, arnab ini lebih cepat untuk membiak dalam tempoh yang cepat,” kata Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman, Ketua Projek penternakan arnab yang juga merupakan pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Kimia), Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH).

Daun ketum ayam antara makanan alternatif arnab yang diternak.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan projek, para pelajar kita dilatih untuk menguruskan ternakan arnab terutama daripada aspek pemakanan dan diet seimbang, kebersihan kandang, proses penyembelihan, pemprosesan dan pemasaran daging,” jelas Pengetua KTHO, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim yang juga merupakan Penasihat Projek.

Pengetua KTHO, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim sebagai Penasihat Projek “Sustainable Rabbit Farming”.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta projek, Nurul Syahira Aminuddin berkata, penternakan arnab menjadi pilihan kerana kos operasinya rendah, pusingan ternakan singkat selain memperoleh pulangan yang lumayan.

Menurutnya, harga pasaran jualan daging arnab pula kira-kira RM37 sekilogram dengan anggaran berat karkas (bahagian badan) haiwan itu yang sudah disembelih antara dua hingga tiga kilogram seekor.

Antara pengunjung yang melawat kawasan ternakan arnab.

Projek penternakan arnab “Sustainable Rabbit Farming” ini menerima sokongan padu dan jitu Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) UTM dan Makmal Hidup Fakulti Sains UTM. Selain Saudari Hakimah dan Syahira, projek ini turut disertai oleh Azyan Zainuddin, Nur Anis Nazurah Syahrul Azli, Amar Badiuzzaman Md Yazed, Muhammad Harist Danish Md Rajuna, Aishah Sofea Shamsul Haniff, Natasya Insyira Saim, Muhammad Fakhrullah Kamal Bahrin dan Nasyithah Syathirah Yusuf.

Oleh: Aishah Sofea, Natasya Insyira, Nasyithah Syathirah, Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman & Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim

Explore More