April 27, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Dr. Nurul Izzah Binti Shari & Prof. Siti Aisyah Binti Panatik

JOHOR BAHRU, 20 Mac – Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020 telah menyatakan bahawa penyakit mental bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama dalam pekerjaan dan kualiti hidup individu.

Oleh itu, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM telah mengambil initiatif menganjurkan program gaya hidup sihat yang bertemakan “Bertahan dan Mempertahankan”.

Tema ini membawa maksud setiap staf seharusnya tidak mudah mengalah dan sentiasa berusaha mengekalkan kesejahteraan hidup yang positif.

Terdapat pelbagai aspek yang menjadi faktor yang menjejaskan keadaan mental seseorang pekerja antaranya adalah kurangnya kesedaran dan pengetahuan mengenai masalah mental, beban tugas di tempat kerja, masalah komunikasi, tempat kerja yang tidak kondusif dan masalah peribadi.

Oleh itu, objektif program ini adalah untuk memberikan kesedaran tentang kesihatan mental, pengurusan stress, dan kaedah yang mereka boleh lakukan untuk meguruskan tekanan melalui gaya hidup yang sihat.

Program ini juga menerapkan kepentingan kesejahteraan kehidupan individu dalam menjalankan tugas dan rutin harian serta tanggungjawab lain dalam meneruskan kelangsungan hidup. Program ini dijalankan secara berkala sebanyak enam siri.

Siri satu mengenai kesihatan mental dan pengurusan stress yang disampaikan oleh dua orang pensyarah psikologi klinikal di SHARPS iaitu Dr Wan Mohd Azam Wan Mohd Yunus dan Dr Nurul Izzah Shari.

Siri dua berkongsi mengenai kesihatan fizikal dan mental melalui pemakanan yang disampaikan oleh Dr. Nurul Ain Azizan, seorang pensyarah dalam bidang nutrisi klinikal dari University of Nottingham, Malaysia.

Siri tiga membincangkan pengurusan tekanan dari sudut pandangan psikospiritual. Siri keempat memfokuskan aktiviti sihat yang boleh dilakukan bersama staf seperti senaman aerobic dan pertandingan bowling antara staf di SHARPS.

Perkongsian cara untuk relaks melalui terapi seni akan dijalankan pada siri lima. Siri terakhir merupakan sesi perkongsian bersama kaunselor bagaimana untuk bertahan dan mempertahankan. Program Healthy Living ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr Siti Aisyah binti Panatik, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal-Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

 

Explore More