April 27, 2024

Search
Close this search box.

Pengurusan Sisa Yang Bijak, Pemangkin Komuniti Hijau dan Pertanian Lestari

JOHOR BAHRU, 9 Mac. – Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) direalisasikan bagi memastikan pengeluaran dan penggunaan sumber alam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi menggalakkan kecekapan, mewujudkan infrastruktur mampan serta menghasilkan kualiti hidup lebih baik.

Tambahan pula, ia sebenarnya dapat membantu dalam mencapai rancangan pembangunan menyeluruh dan mengurangkan kos berkaitan alam sekitar, ekonomi dan sosial secara jangka panjang, sekali gus memelihara sumber supaya dapat digunakan bagi generasi akan datang.

Namun demikian, antara cabaran utama merealisasikan matlamat SDG ini adalah penggunaan dan pengurusan sumber bumi yang kurang cekap dan isu pembaziran makanan. Dengan itu, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan berbesar hati menyahut inisiatif kolaboratif urusetia Festival Konvokesyen kali Ke-66 (Fesko-66) dengan pelaksanaan “Urban Community Service: Living Lab”.

Urban Community Service: Living Lab” atau digelar sebagai UCSLL ini dimulakan dengan taklimat khusus yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Norahim Bin Ibrahim selaku pengetua KTHO. Menurut beliau, sisa pepejal domestik di Malaysia terdiri daripada lebih kurang 40% hingga 60% sisa-sisa makanan dan bahan organik. Adalah penting untuk mengurangkan jumlah ini dan mengubahnya kepada bahan yang berguna supaya kos pembuangan sampah dapat dikurangkan sekali gus mengelakkannya untuk kerap dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Membuat kompos adalah cara semula jadi bahan organik dikitar semula. Ianya adalah proses di mana bahan-bahan organik direputkan oleh mikroorganisma dalam keadaan beroksigen. Hasilnya, proses pengkomposan ini  akan menguntungkan alam sekitar sebagai baja semulajadi untuk perkebunan dan pertanian.

Justeru, beliau juga memberikan pendedahan awal dengan asas pengkomposan yang baik dengan menyediakan persekitaran yang sesuai untuk kehidupan mikrob di mana kompos merupakan penghadaman makanan terbuang yang dihadam oleh berjuta-juta mikrob yang terdapat di dalam tanah seperti fungi dan bakteria. 

Dr. Norahim mula menerangkan mengenai langkah penghasilan baja kompos

Program UCSLL ini juga telah mendapat perhatian daripada sebuah syarikat bioteknologi sebagai penaja utama iaitu EMRO Malaysia Sdn. Bhd. yang berbentuk bahan-bahan pembuatan baja kompos iaitu 5L EM1 dan 15kg Bokashi.

Sepanjang program berlangsung, manfaat-manfaat bagi penggunaan EM1 dan EM Bokashi telah diketengahkan oleh  Prof. Madya Dr. Norahim Bin Ibrahim kepada para peserta bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas terhadap peranan kedua-dua bahan asas  yang digunakan sebelum pembuatan baja itu sendiri. 

EM1 adalah inokulan mikrob mampan yang mencapai kesan sinergi dengan menggabungkan mikroorganisma berfaedah yang wujud dalam alam semula jadi. EM1 mengaktifkan mikroorganisma tempatan dan asli yang hidup di dalam tanah dan air untuk meningkatkan prestasi.

Bagi Bokashi pula beliau menerangkan bahawa Bokashi merupakan salah satu bahan yang efektif bagi membaiki keadaan tanah supaya kadar pertumbuhan bagi tumbuhan mencapai kadar optimum. Hal ini kerana, Bokashi mengandungi empat jenis mikrob yang terdiri daripada kumpulan Bakteria Fotosintetik, Bakteria Asid Laktik, Actinomycetes dan Yis.

Baja Bokashi didapati berpotensi dalam memperbaiki sifat fizikal tanah, unsur kimia dan kandungan hidupan dan biologi tanah. Pemberian baja ini pada tanaman dapat meningkatkan produktiviti dan menjaga kestabilan kualiti serta hasil tanaman.

Penambahan bokashi juga berpengaruh terhadap kekuatan cengkaman pada tanah. Bokashi juga dapat digunakan untuk mengurangkan tanah melekat terhadap alat rotor dan jentera mesin bajak dimana ini akan meningkatkan keberkesanan aktiviti membajak tanah. Caranya dengan mengaplikasikan baja bokashi sebelum pembajakkan dilakukan di atas tanah atau atas batas tanaman. 

Gambar di atas menunjukkan aktiviti praktikal penghasilan baja kompos dengan meracik-racik dan memotong sisa sayuran
Gambar menunjukkan taklimat penggunaan EM1 dan EM Bokashi  kepada 100 orang peserta di Dewan Sri Merbau

Peserta-peserta kemudian telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk pengumpulan daun-daun kering di sekitar kawasan Dewan Seri Merbau yang bakal digunakan bagi proses pembuatan baja kompos. Kulit-kulit pisang yang sudah tidak digunakan dan sayur-sayuran yang telah tua juga diambil sebagai tambahan di dalam kandungan baja kompos tersebut itu nanti. Setelah  selesai aktiviti pengumpulan daun-daun kering, para peserta telah diagihkan tugas untuk meracik kulit pisang dan memotong sayur-sayuran bayam kepada potongan kecil.

Aktiviti ini berfungsi untuk memberikan peluang kepada para peserta untuk menimba ilmu serta pengalaman dalam penyediaan pembuatan baja kompos itu supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka. Kemudian, peserta diarahkan untuk mengasingkan serta mengisi semua bahan-bahan di dalam satu bekas besar bertujuan bagi proses campuran bersama EM Bokashi. Bahan-bahan yang telah diasingkan tersebut kemudiannya dicampurkan bersama EM Bokashi dengan nisbah 1:1. Aktiviti serta proses penyediaan bahan-bahan pembuatan baja yang dijalankan oleh peserta-peserta ini mengambil masa  selama 45 minit. 

Berikut merupakan gambaran para peserta bekerjasama menghasilkan baja

Setelah  selesai sahaja aktiviti serta proses penyediaan bahan-bahan pembuatan baja itu,  peserta-peserta telah diberikan peluang  untuk melakukan proses sebenar pembuatan baja dengan mencampurkan semua bahan-bahan yang telah digaul sebati bersama EM Bokashi tersebut ke dalam tong yang disediakan mengikut lapisan.

Lapisan pertama merupakan lapisan campuran bayam diikuti dengan campuran kulit pisang dan akhir sekali merupakan lapisan daun kering. Kemudian cecair EM1 dituang di atas lapisan terakhir. Proses ini diulang sehingga semua bahan habis digunakan bagi setiap lapisan tersebut. Kemudian, tong tersebut ditutup dengan ketat supaya kedap udara.

Peserta-peserta yang menghadiri program tersebut juga diarahkan untuk mengambil dan menyediakan sendiri baja kompos di dalam bekas yang mereka bawa sendiri. Setelah segala proses pembuatan baja selesai, tong yang berisi baja kompos tersebut dibawa ke tempat yang gelap dan terhindar dari cahaya matahari untuk proses pemeraman. Proses pemeraman baja yang telah diproses ini bertujuan untuk mendapatkan cecair yang terhasil daripada baja kompos itu sendiri yang dipanggil juga sebagai leachate.

Para peserta bertungkus-lumus mencampurkan sisa-sisa bahan

Diharapkan agar program sebegini dapat memberikan impak yang besar buat para peserta untuk diaplikasikan ketika berada di rumah bagi memastikan alam sekitar sentiasa terjamin dari pencemaran sampah-sarap yang sebenarnya ia boleh dijadikan sebagai bahan untuk penghasilan baja kompos.

Oleh: Muhammad Harist Danish bin Md Rajuna,  Nurish Airiesya binti Mohamad Azri, Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman & Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim

Explore More