November 21, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Feb.  –  UTM Big Data Centre (UTM BDC) telah mengadakan majlis pelancaran “Persijilan Profesional Data Sains 2.0 UTM Big Data Centre” bersama industri.  UTM Big Data Centre merupakan pusat kecemerlangan yang paling awal menawarkan sijil profesional dalam sains data sejak  tahun 2015.

Program Persijilan Professional Data Sains anjuran UTM Big Data Centre ini telah dilancarkan pada 7 Julai 2015. Pada ketika itu, persijilan profesional ini bertujuan menjadikan UTM BDC sebagai pusat penawaran perkhidmatan latihan kemahiran tunggal kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia bagi melahirkan Data Saintis Muda Negara sepanjang tahun 2016 hingga 2018.

Selaras dengan perkembangan teknologi dalam Revolusi  Industri 4.0, UTM BDC telah menaiktaraf dan membangunakan semula Modul Persijilan Profesional Data Sains mengikut keperluan kemahiran dan silibus terkini dan dinamakan semula dengan penambahan versi 2.0.

Sains Data merupakan satu disiplin akademik baru yang sedang berkembang pesat sejak awal abad ini dan ianya merupakan displin terkini pengajaran dan pembelajaran 4.0. Disiplin ilmu ini mampu mengeksploitasi data yang banyak dan menukarkannya menjadi aset yang berharga kepada sesuatu organisasi.

Menurut Harvard Business Review, saintis data merupakan pekerjaan yang paling dikehendaki di abad ke 21. Kerjaya sebagai saintis data mendapat permintaan pasaran yang tinggi dengan imbuhan yang lumayan. Kerjaya sebagai saintis data mendapat kedudukan tiga teratas dari 50 perkerjaan terbaik di Amerika Syarikat selama tujuh tahun berturutan dari tahun 2016 hingga 2022 melalui portal pekerjaan terbaik di Amerika Glassdoor.com. Manakala, pekerjaan sebagai jurutera data iaitu satu bidang berkaitan sains data turut disenaraikan dan berada ditangga ke 7 bagi tahun 2022 melalui portal yang sama.

Sebagai strategi pemasaran Modul Persijilan Profesional Data Sains 2.0, UTM BDC telah berkolaborasi bersama Unit Strategi Modal Insan Johor dan diiktiraf sebagai penyedia latihan oleh Unit Strategik Modal Insan Johor dalam Program Latihan Kemahiran Johor (PRO-MAHIR), yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor bagi meningkatkan peluang dan penempatan kepada rakyat Negeri Johor khususnya melalui latihan kemahiran yang dilaksanakan mengikut keperluan industri sebenar.

Majlis Pelancaran Persijilan Profesional Data Sains 2.0 UTM BDC

Majlis pelancaran telah diadakan di Pulai Spring Resort dan dirasmikan oleh Pengerusi Smart Digital Community Research Alliance, YBrs Prof. Ts. Dr. Kamalrulnizam Abu Bakar  serta disaksikan oleh Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor, YBrs Pn. Tazrina Ahmad; Pengarah UTM Big Data Centre, Prof. Dr Azlan bin Mohd Zain dan Pemangku Pengarah Ibnu Sina Institute for Scientific and Industrial Research (ISI-SIR), Prof. Madya ChM Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek.

Persijilan Profesional Data Sains 2.0 UTM Big Data  bertujuan menjadikan UTM BDC pusat penyedia latihan kemahiran bagi melahirkan Saintis Muda yang lebih kompetan dan bakal memenuhi pasaran pekerjaan tempatan dan global.

Program ini juga selari dengan matlamat penubuhan UTM BDC iaitu mengendalikan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di samping menjadi pusat rujukan dan menawarkan solusi perkhidmatan berkaitan bidang data besar, data sains, kepintaran buatan dan pembelajaran mesin.

Turut hadir ke majlis pelancaran Persijilan Professional Data Sains 2.0 UTM Big Data Centre ini ialah Timbalan-Timbalan Pengarah dari Politeknik Mersing, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail; Pengarah dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan UTM, pegawai-pegawai kanan dari industri, agensi, universiti swasta, felo- felo penyelidik dan pegawai kanan Universiti.

Adalah diharapkan jalinan kolaborasi di antara universiti, agensi dan rakan industri diperluas lagi merentasi bidang bagi mewujudkan satu pustaka analitik pintar untuk melonjakkan secara kuantum prestasi institusi pendidikan dan penyelidikan di Malaysia ke tahap yang luar biasa.

Sumber gambar : https://www.facebook.com/utmbigdatacentre/posts/763308851983456

 

Explore More