April 28, 2024

Search
Close this search box.

50 warga UTM ikuti kursus penghasilan bahan penjenamaan Universiti yang berkualiti

KUALA LUMPUR, 22 Feb.– Seramai hampir 50 peserta dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan skim jawatan serta Wakil Jawatankuasa Mahasiswa Pelajar Luar Kampus setelah mendapat pendedahan kepentingan penjenamaan universiti melalui Kursus Penjenamaan Reka Bentuk dan Bahan Promosi Universiti.

Penganjuran kursus ini merupakan inisiatif kerjasama antara Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA), UTMKL dengan Seksyen Pembangunan Bakat (SPB), Bahagian Pendaftar, UTM Kuala Lumpur.

Kursus yang berlangsung di kampus UTM Kuala Lumpur ini menampilkan penceramah yang sangat berpengalaman, iaitu Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin, Timbalan Pengarah, Unit Media Kreatif dan Penjenamaan, Seksyen Hal Ehwal Korporat UTM yang berpengalaman luas dalam bidang fotografi dan videografi.

Turut hadir adalah Puan Norfarhawa Khairi dan Puan Nur Amalina Hamidi juga dari Unit Media Kreatif dan Penjenamaan.

Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi penerangan dan kefahaman yang jelas mengenai strategi penjenamaan universiti melalui penghasilan bahan reka bentuk yang tepat, kreatif dan berkualiti kepada warga UTM khususnya di samping rakan usaha sama industri dan komuniti lain secara amnya.

Kursus ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan ilmu mengenai garis panduan reka bentuk dan bahan promosi serta mengurangkan kesalahan-kesalahan kecil yang sering dilakukan dalam penghasilan reka bantuk.

Sesi pertama kursus mengetengahkan pengisian berkaitan ‘Visibility & Branding’. Dr Farizal menerangkan secara ringkas garis panduan reka bentuk, bentuk bahan promosi yang terkini dan bagaimana sesuatu rekaan yang dihasilkan itu membantu mempromosikan individu atau jabatan.

Dr. Farizal berkata, “Kursus seperti ini sangat penting bagi meningkatkan produktiviti staf serta UTM secara menyeluruh dan beliau  berharap peserta dapat bersaing secara sihat untuk menghasilkan rekaan terbaik yang selari dan menepati kehendak universiti.”

Menurut Tuan Haji Mohd Najib bin Masroom, Ketua Pentadbiran UTM Kuala Lumpur, melalui kursus ini, adalah menjadi harapan universiti untuk meningkatkan kreativiti staf dan menggalakkan lebih ramai staf yang bukan daripada jawatan pereka untuk terus bermotivasi dan berinovasi dalam menghasilkan bahan-bahan yang berkualiti.

Tambah beliau, “Strategi latihan ini selari dengan persediaan UTM bagi menyokong dan mencapai enVision 2025 dalam memperkasakan bahan pendigitalan.”

Kursus ini juga menjadi platform untuk peserta berkongsi idea dan ilmu pengetahuan dalam bidang reka bentuk.  Pelbagai pengetahuan tambahan turut dikongsikan seperti aplikasi dan perisian percuma secara dalam talian (open source) berkaitan bidang ini, selain secara tidak langsung kursus ini telah mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga UTM.

Explore More