Disember 19, 2024

FABU promosi kursus kejuruteraan geomatik di SMK Skudai

Oleh: Chai Yan Ru, Nelson Goh Ser Earn, Nazatul Amielia binti Nazar, Tan Mei Sieng, Nur Najwa binti Khairul Zuhairi, Wong Chin Shen, Nilashini A/P ML Supparamaniyan, Nurul Naziha binti Ismail & Dr Muhammad Hafiz bin Mohd Yatim

JOHOR BAHRU, 17 Jan. – Satu program Pembelajaran Servis yang dianjurkan oleh Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Ukur Tanah (PEMETA) dan Juruukur Mahktar Sdn. Bhd. telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai.

Program ini merupakan satu inisiatif pemindahan ilmu berkaitan dengan teknologi ukur dan pemetaan menggunakan Global Navigation Satellite System (GNSS) kepada pelajar Tingkatan 2 sekolah ini. Program ini telah disertai oleh lapan (8) orang pelajar Kursus Kejuruteraan Geomatik Tahun 3, UTM yang bertindak sebagai fasilitator dengan pensyarah pengiring Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim.

Program turut disertai oleh Pengetua SMK Skudai, Puan Hajah Rostena binti Ismail yang sangat menyokong kepada penganjuran program seumpama ini.

Program yang bertemakan “The Satellite Navigators” ini telah disertai seramai 89 orang pelajar Tingkat 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai. Fasilitator seterusnya menyampaikan taklimat berkenaan latar belakang pengenalan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta bidang Kejuruteraan Geomatik kepada para pelajar.

Bagi menarik minat dan perhatian para pelajar, beberapa siri kuiz dan sesi soal jawab telah diadakan dengan penuh meriah. Seterusnya, pelajar didedahkan dengan teknologi dan aplikasi alat GNSS dalam tujuan penentududukan titik di atas permukaan Bumi.

Di samping itu, para pelajar juga telah diberi peluang untuk merasai pengalaman menjalankan proses penentududukan menggunakan alat GNSS dengan pemantauan fasilitator dan pembantu makmal Geodesi dan Astronomi (MGA). Aktiviti pencarian ‘harta karun’ yang disembunyikan di bawah tanah dikenali sebagai Geocathing telah memberi satu ilmu baru kepada para pelajar berkenaan ilmu pengukuran di lapangan.

Sesi ceramah ‘Pengenalan kepada GNSS’
Sesi demo permainan “Geocatching” oleh fasilitator

Bagi menghargai penglibatan para pelajar, satu sesi penyampaian hadiah telah diadakan bagi pelajar-pelajar yang dapat menjawab dengan tepat semasa sesi kuiz dan soal jawab berlangsung. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Skudai, Puan Hajah Rostena binti Ismail bersama dengan pensyarah pengiring Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim.

Secara keseluruhan, Program Pembelajaran Servis ini telah menjadi satu wadah perkongsian ilmu bidang Geoinformasi terutamanya teknologi GNSS kepada para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai. Program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar sekolah yang terlibat tetapi lebih penting lagi membekalkan kemahiran komunikasi dan pengurusan program kepada pelajar UTM itu sendiri.

Explore More