November 22, 2024

Search
Close this search box.
Sebahagian peserta-peserta yang terlibat dalam Program Kesedaran Pemeliharaan Alam Sekitar di TER Tanjung Tuan, Melaka.

Pelajar UTM bantu pulihara ekosistem hutan paya laut

MELAKA, 29 Jan. – Seramai 90 peserta telah menjayakan Program Kesedaran Pemeliharaan Alam Sekitar di Taman Eko Rimba (TER) Tanjung Tuan, Melaka.

Program ini dianjurkan oleh 19 orang pelajar pesisir dari program Sarjana Pentadbiran dan Pembangunan Tanah (MLAD), Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah subjek elektif Pengurusan Sumber Asli dan Alam Sekitar (MBET2633) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka.

Selain itu, program ini turut melibatkan 32 orang pelajar dari Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi dan pengunjung TER Tanjung Tuan, Melaka. Pemilihan program ini adalah selaras dengan perlaksanaan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang telah dilancarkan pada 5 Januari 2021.

Antara objektif utama program adalah untuk menggalakkan penglibatan orang awam khususnya generasi muda untuk memahami dengan lebih dekat fungsi dan kepentingan Hutan Paya Laut sebagai khazanah alam semulajadi negara yang perlu dipelihara dan dilindungi bagi mengekalkan ekosistem pantai dan kelestarian alam.

Program ini dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan Majlis Perasmian oleh Tuan Khirun Nizam bin Abdul Rahim, Pengarah Perhutanan Negeri Melaka dan Ceramah Kesedaran ‘Perkongsian Kepentingan Pemeliharaan Alam Sekitar Secara Berterusan’ oleh Encik Mohamad Farhan bin Sukiman.

Kemudian, program diteruskan dengan aktiviti penanaman 80 anak pokok daripada spesies Berembang (Sonneratia caseolaris) dan Api-api (Avicennia spp.) diikuti dengan aktiviti pembersihan pantai di Hutan Paya Laut yang terjejas akibat kesan tumpahan minyak sebagai usaha pemuliharaan.

Aktiviti penanaman pokok bakau dan pembersihan pantai di Hutan Paya Laut.

Selanjutnya, peserta telah dibawa untuk menikmati keindahan alam semulajadi melalui aktiviti eko-pendakian Bukit Batu Putih dan plogging di sepanjang denai pendakian merangkumi perkongsian ilmu oleh pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, aktiviti treasure hunt dan permainan interaktif.

Keindahan pemandangan pantai Monkey Bay semasa aktiviti eko-pendakian menuju ke Rumah Api Bukit Batu Putih, Hutan Simpan Tanjung Tuan, Melaka.
Aktiviti eko-pendakian dan treasure hunt di TER Tanjung Tuan, Melaka.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah binti Haji Suratman selaku Penasihat Program Program Kesedaran Pemeliharaan Alam Sekitar dan pensyarah bagi subjek Pengurusan Sumber Asli dan Alam Sekitar (MBET2633) serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta aktiviti treasure hunt dan sesi bergambar.

Sesi bergambar dengan semua peserta program.

Melalui pelaksanaan program seumpama ini, ia memberi impak kepada nilai teras yang digarapkan oleh UTM di mana ia bukan sahaja merupakan usaha dalam melahirkan modal insan dan ilmuwan bertaraf dunia, malah turut dilengkapi dengan nilai-nilai positif untuk menggalas tugas menyampaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

Malah selaras dengan visi dan misi UTM, program ini sebagai salah satu platform kepada para pelajar untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam aspek komunikasi, kerja berpasukan dan menyumbang kepada pembelajaran sepanjang hayat. Semoga pendedahan dan pengalaman ini dapat membuka minda para pelajar dengan lebih luas dalam mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

 

Explore More