Disember 19, 2024

Seminar Pencegahan Kebakaran serlah potensi bakal guru tangani kecemasan

Oleh Nur Ain Farhana, Muhammad Harith dan Kuang Han Yong

JOHOR BAHRU, 20 Jan. –  Lantaran isu kebakaran yang kian meningkat, kesedaran menangani situasi kecemasan dalam kalangan pelajar universiti dilihat menjadi suatu keperluan sebagai sebahagian daripada asas kehidupan. Rentetan itu, pelajar Seksyen 01 Pengurusan dan Keselamatan Makmal (SHPN 2052) bersama Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga Penasihat Program, Puan Marlina Ali mengambil inisiatif ke arah ini melalui penganjuran Seminar Pencegahan Kebakaran dengan kerjasama Pegawai Bomba Dan Penyelamat, Taman Universiti, Johor Bahru, baru-baru ini.

Program Seminar Pencegahan Kebakaran ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa tentang perkara yang perlu dilakukan ketika menghadapi kecemasan atau kebakaran. Seminar ini telah diadakan secara bersemuka bertempat di Bangunan L50 (Dewan Kuliah 1), dan taklimat pula disampaikan oleh Pegawai Bomba Gred KB 19 dari Balai Bomba Taman Universiti, Johor Bahru iaitu Encik Mohamad Riduan Bin Akhyar. 

Objektif utama Program Seminar Pencegahan Kebakaran ini diadakan bertujuan untuk memberi taklimat dan penerangan terperinci tentang langkah-langkah yang perlu diambil ketika menghadapi kecemasan dan kebakaran kepada para mahasiswa Sekolah Pendidikan. Selain itu, para mahasiswa juga belajar untuk mempraktikkan prosedur yang betul dan selamat untuk memadamkan api menggunakan alat pemadam api jenis ABC. 

Program dimulakan dengan ucapan daripada pengerusi majlis iaitu Nur Aliah Syahzani binti Mat Salleh yang mengalu-alukan kedatangan para pegawai bomba dari Balai Bomba Taman Universiti,Johor Bahru, pensyarah serta para peserta bagi mengambil tempat dan majlis diteruskan dengan bacaan doa daripada Muhammad Shakirin bin Mohd Fazarin bagi memberkati majlis.

Program seminar ini disertai oleh 63 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Fizik), Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia) dan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik).  Program ini telah dipecahkan kepada dua sesi iaitu sesi taklimat dan sesi amali. Seminar ini telah disampaikan oleh Pegawai Bomba Gred KB 19 dari Balai Bomba Taman Universiti,Johor Bahru iaitu Encik Mohamad Riduan Bin Akhyar. 

Seminar dimulakan dengan statistik berkaitan punca kebakaran yang berlaku sepanjang 2021 sehingga 2022 dan kebanyakannya adalah disebabkan oleh elektrik. Kemudian beliau telah menerangkan kepentingan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api di rumah masing-masing bagi mencegah kebakaran di peringkat awal daripada merebak. Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab dimana beberapa pelajar mengajukan soalan kepada pegawai bomba berkaitan isu kebakaran yang ingin diketahui dengan lebih mendalam.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh pegawai Bomba

Pelajar mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh pegawai bomba

Sesi soal jawab antara pelajar dan pegawai bomba

Setelah tamat sesi taklimat yang diadakan di dewan kuliah 1 , suatu demonstrasi pencegahan kebakaran telah dilakukan oleh ahli bomba yang . Pihak bomba mendemonstrasikan dengan terperinci cara-cara pengendalian alat pemadam api lalu memanggil beberapa orang pelajar untuk memadamkan api. Tiga orang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan telah berjaya untuk memadamkan api menggunakan alat pemadam api jenis ABC di bawah pengawasan ahli-ahli bomba. 

Pegawai Bomba memberikan taklimat berkaitan alat pemadam api jenis ABC dan cara pengendaliannya

Pegawai Bomba memberikan demostrasi pemadaman Api 

Pelajar mengendalikan alat pemadam api jenis ABC

Sesi Penyerahan Cenderamata Dan Sijil Kepada Pihak Bomba

Sebelum melabuhkan tirai, kesimpulan yang dapat disimpulkan ialah seminar ini berjaya memberi pendedahan kepada langkah-langkah pencegahan kebakaran dimana program ini turut menambah ilmu pengetahuan pelajar terutamanya dalam mengendalikan alat pemadam api jenis ABC. Oleh yang demikian, diharapkan diharapkan ilmu yang telah diperolehi daripada seminar ini dapat diimplementasikan dalam kehidupan seharian agar dapat mengurangkan kes kebakaran sekaligus sedikit-sebanyak dapat membantu pihak bomba. Akhir kalam,pihak jawatankuasa seminar ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penceramah, penasihat, moderator, jawatankuasa dan para peserta yang telah turut hadir bagi menjayakan lagi program seminar ini.

Explore More