Oleh: Mohd Hafizan Hamzah
JOHOR BAHRU, 2 Feb – Sebanyak empat langkah pecutan (Moonshot) telah dirancanakan bagi perjalanan transformasi memperkasakan enVision Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2025 sepanjang tahun 2023.
Langkah pecutan ini merupakan pendekatan radikal yang diambil pihak pengurusan universiti ini dalam memastikan supaya agenda pembaharuan yang dirancangkan dalam Pelan Transformasi enVision UTM 2025 dapat dijayakan.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata langkah yang pertama adalah Melahirkan graduan berkualiti dengan berorientasikan masa hadapan diikuti dengan langkah kedua iaitu Menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan terfokus dalam bidang strategik.
Prof Fauzi berkata demikian sewaktu memberikan ucapan di dalam Majlis Amanat Naib Canselor (MANC) 2023 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.
“Langkah ketiga adalah Mencapai keunggulan global sebagai Universiti Penyelidikan terkemuka negara yang berteraskan teknologi dan yang terakhir adalah Memanfaatkan teknologi tinggi dan menggunakan pendekatan Quadraple Helix.
“Keempat-empat langkah ini digariskan supaya kita semua lebih serius dalam menggembleng tenaga dalam menjayakan Pelan Transformasi enVision UTM 2025,” katanya lagi.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad.
Prof. Fauzi dalam amanat tahun baharunya turut berpesan kepada semua staf tentang betapa besarnya amanah yang diberikan oleh masyarakat dan negara dalam menjalankan tanggungjawap sebagai kakitangan universiti.
“UTM telah mencapai usia 50 tahun dan dalam meniti perjalanan kematangan ini, universiti ini telah melahirkan ratusan ribu insan berilmu yang menyumbang tenaga dalam membangunkan negara ini.
“Kesemua staf juga telah bersetuju untuk merangkul amanah ini sewaktu menerima tawaran jawatan di UTM dan saya percaya semua staf mempunyai kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam menjalankan amanah dan tanggungjawap ini,” katanya lagi.
Menurut Prof. Fauzi lagi bertugas di universiti bukan sekadar hanya datang dan pergi serta melakukan pelbagai lagi perkara yang tidak berfaedah sebaliknya perlu serius dalam membantu melahirkan insan yang berkualiti dan berilmu.
“Para pemimpin UTM yang terdahulu sememangnya terdiri dari orang-orang yang budiman serta bijak dalam merencanakan masa hadapan universiti ini.
“Mereka telah bertungkus lumus dalam membina imej dan reputasi institusi dan juga berjaya mendapatkan status Universiti Penyelidikan sebagaimana yang kita dapat lihat pada hari ini. Oleh yang demikian selagi mana kita berada di universiti haruslah ambil pendekatan yang telah dipersetujui semua iaitu melahirkan insan yang berilmu dan berkualiti bagi pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya lagi.