November 22, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi FSSH dan Pusat Kesihatan UTM dedahkan asas pertolongan cemas kepada bakal guru

JOHOR BAHRU, 13 Jan. –  Bengkel pertolongan cemas telah dijalankan oleh Pelajar Seksyen 2 Pengurusan dan Keselamatan Makmal (SHPN 2052) bersama Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga Penasihat Program, Puan Marlina Ali dengan kerjasama Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UTM Johor Bahru.

Penglibatan seramai 56 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik), Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia) dan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Fizik) merupakan sebuah program yang  bertujuan untuk mendedahkan teknik Kemahiran Bantuan Asas Hayat. 

Teknik-teknik seperti CPR & balutan anduh dengan cara yang tepat turut diajar di samping memahami kepentingan Automated External Defibrillator (AED) untuk meningkatkan kadar survival serta dapat menguruskan pertolongan cemas untuk pelbagai kecederaan seperti pendarahan, melecur, renjatan, patah tulang dan kecederaan tulang belakang.

Sesi taklimat yang disampaikan oleh Dr Firdaus, Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Universiti, UTM

Bengkel pertolongan cemas ini dimulakan dengan pendedahan mengenai cara untuk mempraktikkan latihan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Isi kandungan yang disampaikan kepada pelajar ialah ‘Golden Rules’ yang menerangkan mengenai peraturan-peraturan yang perlu dituruti sebelum melakukan sebarang pertolongan cemas dan pantang-larang yang perlu dielakkan sewaktu berhadapan dengan situasi kecemasan. 

Perkara-perkara ini amatlah penting kepada karies kita sebagai satu penambahan ilmu baharu yang akan diguna pakai sekiranya berlaku situasi kecemasan di dalam makmal kelak. Sebelum mengakhiri sesi pertama bengkel, simulasi CPR telah ditunjukkan sebagai satu pendedahan awal mengenai cara yang tepat melakukannya.

Simulasi ini turut dibantu barisan fasilitator yang terdiri daripada Puan Noorsuzilawati Binti Mohd Yahya, Puan Norliah Binti Abu Talib, Puan Nur Rashidah Binti Hj Taufikul Rahman, Puan Norhidayah Binti Mohd Ismail dan Puan Sarimah Binti Salleh.

Seorang fasilitator menunjukkan demonstrasi cara balutan kain anduh

Bengkel diteruskan dengan sesi kedua iaitu sesi praktikal di mana para pelajar diberi peluang sama rata untuk melakukan simulasi CPR dan balutan anduh. Para pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan dan dibimbing oleh seorang fasilitator bagi setiap stesen yang berbeza.

Taklimat ringkas mengenai prosedur melakukan CPR dengan tepat kepada pelajar
Salah seorang pelajar membalut tangan rakannya sewaktu sesi praktikal
Sesi penyerahan cenderamata kepada Pihak Pusat Kesihatan Universiti

Diharapkan bengkel pertolongan cemas ini banyak memberi pendedahan dan penambahan ilmu pengetahuan mengenai asas pertolongan cemas dan akan menjadi asas ketersediaan untuk berhadapan dengan sebarang situasi kecemasan dengan penuh hemat.

Explore More