November 22, 2024

Search
Close this search box.

Mutu pencapaian bahasa Inggeris di negara kita menampakkan kemerosotan terutamanya sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menghapuskan aliran bahasa Inggeris dan menggantikannya dengan aliran bahasa kebangsaan.

Dasar ini mungkin tidak dinafikan membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi dalam masa yang sama menyebabkan penguasaan para pelajar dalam bahasa Inggeris menjadi rendah.

Mengulas mengenai dasar ini, Pensyarah Kanan dan juga pakar bahasa Inggeris dari Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaaan (FSSK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Norhanim bt Abdul Samat berkata Sains dan Matematik adalah ‘tiang seri’ kepada ilmu teknologi manakala bahasa Inggeris pula adalah bahasa penghantar untuk kita menguasai ilmu saintifik ini.

Fakta ini tidak dapat kita elakkan kerana sudah sememangnya kebanyakan buku-buku rujukan bagi bidang sains, teknologi dan kejuruteraan dibawa masuk dari luar negara dan ditulis dalam bahasa Inggeris.

Kita tiada pilihan lain selain menguasai bahasa kedua ini di samping tidak mengabaikan bahasa ibunda kita sendiri yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang kita.

Isu penguasaan bahasa kedua ini juga menjadi semakin menarik dengan pengenalan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) pada tahun 2007 yang bertujuan memartabatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan ke arah bertaraf dunia.

Pengenalan PSPTN ini menjadi pemangkin atau titik tolak yang penting untuk semua warga IPT tempatan bagi memperbaiki mutu penguasaan bahasa Inggeris tanpa perlu berlengah.

Kegagalan warga IPT untuk menguasai bahasa kedua ini tidak seharusnya dilihat sebagai mengagalkan PSPTN ini sebaliknya memperlahankan ‘perjalanan’ dasar ini dalam mencapai objektifnya.

Warga UTM khasnya seharusnya peka dan cakna dengan objektif dan hala tuju yang telah ditetapkan dalam PSPTN. Mereka juga perlu menyedari bahawa PSPTN juga mengandungi 7 teras utama iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguh penyelidikan dan inovasi, memperkasakan institusi pengajian tinggi, mempergiatkan pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian KPT.

Jelas sekali dua dari tujuh teras PSPTN adalah mempergiatkan pengantarabangsaan universiti dan juga memperkasakan institusi pengajian tinggi.

Selain pemerkasaan IPT, teras PSPTN juga memasukkan elemen mempergiatkan pengantarabangsaan universiti dan elemen ini memerlukan universiti tempatan yang selama ini hanya menyediakan tempat untuk warganegara dibuka kepada bukan warganegara dari negara lain untuk menyambung pengajian mereka.

Kehadiran mahasiswa antarabangsa ini juga ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris.

Dengan kehadiran komuniti ini dalam kampus warga universiti tiada lagi pilihan selain dari mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris bagi tujuan komunikasi dengan pelajar antarabangsa ini.

Seramai 5,146 mahasiswa antarabangsa menyambung pengajian di UTM setakat tahun 2022 yang lalu. Kehadiran ini juga banyak membantu dari segi penentuan kedudukan universiti dalam sistem penarafan antarabangsa apabila jumlah enrolmen diambil kira untuk mengesahkan kedudukan sesebuah universiti itu.

Untuk komuniti mahasiswa pula penguasaan bahasa Inggeris yang baik dapat membantu mereka untuk memperolehi pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian.

Majikan kini amat menitikberatkan kemahiran insaniah (soft skills) yang ada pada diri bakal pekerja yang akan diambil bekerja dan ini termasuk kemahiran komunikasi terutamanya dalam bahasa Inggeris.

Fenomena ini juga kelihatan seperti tidak memberikan ruang pilihan yang banyak kepada bakal graduan selain dari mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris sekiranya ingin mendapatkan pekerjaan sebaik menamatkan pengajian kelak.

Melihat akan kepentingan untuk komuniti UTM meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris maka amat perlu akan universiti untuk mengambil beberapa tindakan agresif bagi menampakkan keseriusan dalam menangani masalah penguasaan bahasa Inggeris ini.

UTM boleh meneruskan aktiviti seperti minggu bahasa Inggeris (English Week) dimana semua staf dan mahasiswa bertutur dengan bahasa kedua ini dengan orang sekeliling sepertimana mereka bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Universiti juga boleh menganjurkan pertandingan yang lebih kreatif dengan menggunakan media sosial seperti ‘Tik Tok’ untuk menjayakan kempen penguasaan bahasa Inggeris ini di peringkat fakulti dan kolej kediaman bagi menggalakkan warga UTM menggunakan bahasa kedua ini.

Akademi Bahasa juga boleh meneruskan penganjuran kursus-kursus komunikasi untuk melatih staf supaya lebih yakin dalam pertuturan harian. Bagi staf yang sentiasa berhadapan dengan pelajar antarabangsa seperti pemandu, pengawal keselamatan dan juga staf pengurusan profesional dan pelaksana (PPP), kursus begini dapat meningkatkan penguasaan mereka untuk berkomunikasi dengan lebih yakin.

Segala usaha tidak mustahil untuk kita jalankan asalkan kita serius mengambil tindakan dalam menangani perkara ini. Tidak mustahil juga kita akan terus ketinggalan jika kita secara berterusan mengabaikan tentang penguasaan bahasa kedua ini.

Penguasaan Bahasa Inggeris amat penting terutamanya dalam menguasai ilmu sains dan teknologi – Gambar Hiasan
Majikan kini amat menitikberatkan kemahiran insaniah (soft skills) yang ada pada diri bakal pekerja yang akan diambil bekerja dan ini termasuk kemahiran komunikasi terutamanya dalam bahasa Inggeris – Gambar Hiasan

Explore More