September 21, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM dalami teknologi rekabentuk dan pembinaan, telusuri tinggalan sejarah senibina tamadun di India

Oleh: Ts. Dr. Muhammad Faizal Bin Abdul Rani

CHENNAI, 6 Dis. – Seramai tujuh orang delegasi dari Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berangkat ke India melalui pesawat penerbangan Airasia AK 11. Delegasi tersebut terdiri daripada lima orang pelajar iaitu Kerk Yong Hui (Tahun 2), Fatehah Normah Hamdan Taufik (Tahun 2), Anis Adriana Binti A. Asmadi (Tahun 2), Lim Xiao Teng (Sarjana Senibina) dan Wong Yee Roe (Sarjana Senibina).

Para pelajar tersebut telah diiringi oleh dua orang pensyarah kanan iaitu Dr. Iziq Eafifi Ismail dan Ts. Dr. Muhammad Faizal Bin Abdul Rani. Ketibaan delegasi daripada Jabatan Senibina UTM ini telah disambut oleh wakil dari Vellore Institute of Technology (VIT) iaitu Prof. E S Dinesh Raghavan dan Prof. Dipika M di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India.

Pada hari pertama di Chennai, kami telah dibawa melawat ke sebuah sekolah swasta iaitu Vellore International School (VIS), dimana ditubuhkan oleh Vellore Institute of Technology. Bangunan sekolah ini telah direkabentuk oleh Ar. Sanjay Mohe dan konsep pembelajarannya adalah tidak tertumpu di dalam ruang kelas sahaja tetapi menggalakkan proses pembelajaran turut berlaku di luar kelas. Keseluruhan kompleks bangunan sekolah ini banyak melibatkan pengudaraan semulajadi di mana setiap bangunan terdapat banyak ruang-ruang yang terbuka.

Pada hari kedua, kami telah dibawa melawat ke Auroville yang terletak 12 km di utara Pondicherry. Auroville telah diasaskan oleh Mirra Alfassa (1878 – 1973) atau lebih dikenali sebagai The Mother dan ditubuhkan secara rasminya pada 28 Februari 1968 dengan bermatlamat menjadi sebuah bandar antarabangsa sejagat dan bandar ini didedikasikan kepada semua bangsa yang mengimpikan perpaduan sesama manusia dalam suasana kepelbagaian.

Di Auroville ini, pelajar senibina dari UTM dan VIT telah bersama – sama menghadiri taklimat tentang Auroville yang meliputi aspek penubuhan, pendidikan, ekonomi, kesihatan, kelestarian hidup di kalangan komuniti Auroville, teknologi pembinaan, pertanian, seni dan budaya, dan senibina.

Pada hari pertama di Auroville, pelajar senibina UTM dan VIT telah didedahkan dengan teknologi pembinaan yang telah dieksperimentasikan oleh komuniti Auroville sendiri. Teknologi ini melibatkan pembuatan batu – bata dengan menggunakan formula bahan yang tersendiri dan juga penggunaan bahan – bahan binaan yang lain seperti buluh, kayu dan konkrit.

Pelajar senibina UTM dan VIT telah menghadiri sesi penerangan berkenaan dengan teknologi pembinaan yang telah dieksperimentasikan oleh komuniti Auroville sendiri.

Selepas tamat bengkel di Auroville, pelajar senibina UTM dan VIT telah melawat koloni Perancis di bandar Pondicherry. Kawasan koloni Perancis ini atau lebih dikenali sebagai French town, telah wujud sejak dijajah oleh French East India Company pada tahun 1673. Di kawasan koloni Perancis ini masih boleh dilihat dengan jelas senibina tinggalan Perancis yang terdiri daripada rumah, kedai, gereja, bangunan pentadbiran, café, sekolah, makam dan sebagainya.

Senibina Perancis yang pelbagai rekabentuk banyak terdapat di kawasan koloni Perancis di bandar Pondicherry.

Pada hari ketiga, pelajar senibina UTM dan VIT telah hadir ke Auroville sekali lagi untuk menghadiri bengkel hari kedua. Kali ini, pelajar senibina UTM dan VIT akan belajar dan mempraktikkan sendiri (hands-on) bagaimana menghasilkan batu – bata secara manual dan juga membina struktur gerbang dengan menggunakan batu – bata yang telah dihasilkan di bengkel ini.

Untuk menghasilkan batu – bata secara manual ini, pelajar telah didedahkan cara – cara menyediakan bahan dengan betul termasuklah diajar cara – cara mengadunkan bahan buatan batu – bata itu sendiri. Selepas diadun dengan betul bahan – bahan tersebut, baharulah bahan – bahan tersebut dimampatkan dengan menggunakan mesin khas. Kemudian, batu – bata yang telah berjaya dimampatkan akan dijemur dibawah cahaya matahari.

Ketiga – tiga proses utama ini telah dipraktikkan oleh para pelajar dibawah penyeliaan Ar. Aasaithambi, Ar. Yatharth dan Ar. Nivetha. Di bengkel hari kedua ini, semua pelajar turut belajar dan mempraktikkan cara membina struktur gerbang.

Pelajar senibina UTM turut melakukan latihan ini dan berjaya membantu menyiapkan struktur gerbang tersebut di akhir bengkel. Selepas tamat bengkel, kami bergerak ke kampus utama VIT di Vellore yang terletak sejauh tiga jam perjalanan.

Pelajar dan pensyarah senibina UTM turut mempelajari dan mempraktikkan sendiri cara– cara penyediaan, mengadunkan bahan binaan dan membina struktur gerbang.

Pada hari keempat, kami telah melawat ke dua buah kubu yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi iaitu kubu Vellore yang terletak di tengah bandar Vellore dan kubu Gingee yang terletak sejauh dua jam perjalanan iaitu di daerah Villupuram.

Kubu Vellore telah dibina oleh Chinna Bommi Nayaka iaitu ketua suku kaum Vijayanagar pada tahun 1550 dan kubu ini telah berpindah milik dari empayar Vijayanagara ke kesultanan Bijapur (1656 – 1678), kemudian kepada Marathas (1678 – 1707) dan berpindah milik kepada Carnatic Nawabs (1707 – 1760) dan British (1799 – 1947).

Kubu Vellore ini akhirnya berpindah milik kepada India setelah India mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1947. Menariknya tentang kubu Vellore ini ialah terdapatnya kuil, gereja dan masjid yang telah dibina berdasarkan pemilik kubu pada masa tersebut.

Kuil Jalakandeswarar telah dibina oleh Chinna Bommi Nayaka, masjid Nawab Chanda Sahib dibina oleh Nawab Chanda Sahib pada tahun 1750 dan gereja St. John dibina oleh British pada tahun 1846. Ketika di kubu Vellore ini, kami hanya berkesempatan melawat kuil Jalakandeswarar dan gereja St. John sahaja. Kami telah diberi penerangan oleh Prof E S Dinesh Raghavan ketika berada di sini.

Delegasi UTM telah diberi kesempatan untuk meninjau di sekeliling kawasan kuil Jalakandeswarar dan gereja St. John.

Selepas makan tengahari, kami telah bergerak ke kubu Gingee yang terletak di daerah Villupuram. Sepanjang perjalanan ke sana, kami telah disajikan dengan pemandangan yang indah yang berlatarbelakangkan suasana kampung. Kubu Gingee atau Senji telah dibina pada sekitar 1190 oleh Ananta Kon dari dinasti Konar.

Kubu Gingee ini juga telah beberapa kali berpindah milik bermula daripada dinasti Konar, Yadava, Chola, Vijayanagara, Marathas, kesultanan Bijapur, Moghul, Carnatic Nawabs, Perancis, British dan sehinggalah kepada India pada tahun 1947.

Kubu Gingee ini terdiri daripada tiga buah bukit iaitu Krishnagiri di utara, Rajagiri di barat dan Chandrayandurg di selatan timur. Ketiga – tiga bukit ini dihubungi oleh laluan yang panjang dan ini secara tidak langsung akan membentuk kawasan segitiga yang sangat luas.

Di dalam kubu ini, masih boleh dilihat peninggalan senibina yang terdiri daripada beberapa buah kompleks bangunan seperti Kalyana Mahal, istana, kuil Hindu, kolam air suci (Aanaikulam), kediaman diraja, kandang kuda, dewan mesyuarat untuk orang awam, masjid, tempat suci, astaka, gimnasium tentera, penjara, kolam mandi gajah (elephant tank), tempat simpan beras dan lain – lain lagi.

Suasana di kubu Gingee ini tersangatlah tenang dan cantik. Lokasi ini sangat sesuai untuk dijadikan penggambaraan filem epik dan juga untuk peminat fotografi. Ini disebabkan gambar yang diambil di setiap sudut yang berlainan di kubu Gingee ini akan memberi hasil yang cantik dan tidak akan menghampakan. Malah, untuk peminat arkeologi juga pasti akan kagum dan menghargai nilai sejarah dari kubu ini.

Kompleks bangunan Kalyana Mahal yang mempunyai struktur bangunan setinggi tujuh tingkat yang boleh dillihat dari jauh.

Pada hari kelima, kami telah melawat VIT School of Planning and Architecture (V-SPARC), di kampus utama Vellore Institute of Technology. Di awal lawatan, Prof. E S Dinesh Raghavan telah memberi sedikit taklimat berkenaan dengan program senibina di V-SPARC. Beliau juga ada menerangkan tentang konsep senibina V-SPARC kepada kami.

Bangunan V-SPARC telah direkabentuk oleh Ar. Sanjay Mohe dan beliau menekankan aspek kelestarian di dalam rekabentuknya. Selain itu, beliau juga turut mengaplikasikan senibina berkonsepkan terbuka di mana setiap bilik kelas adalah tidak tertutup sepenuhnya.

Malah, pelajar boleh melihat dan mendengar proses pengajaran dan pembelajaran dari bilik kelas yang lain. Selain itu, bangunan ini juga menggalakkan berlakunya ventilasi secara semulajadi setelah banyak ruang – ruang yang terbuka diwujudkan di bangunan V-SPARC.

Penggunaan blok ventilasi yang meluas di bangunan mereka juga dapat menjadikan udara yang melalui bangunan mereka ini turut menjadi sejuk dan dapat mengelakkan haba yang tinggi dari luar bangunan.

Selepas sesi taklimat tersebut, pelajar senibina UTM telah terlibat dengan sesi bersama Prof. Piyush Das di mana beliau telah mengajar tentang Spatial analysis and the design aspects of vernacular architecture.

Sesi tersebut telah dijalankan di dalam salah satu bilik kelas dan pelajar telah membuat latihan bersama – sama dengan Prof. Piyush Das. Setelah selesai lawatan di V-SPARC, kami telah pergi ke gedung kain di bandar Vellore. Kami ambil kesempatan ini untuk membeli – belah kain sari dengan harga yang sangat murah dan cantik untuk dibawa pulang ke Malaysia..

Lawatan kami ke V-SPARC dimana sesi taklimat, perbincangan dan pengajaran telah diadakan.

Pada hari keenam, kami telah bertolak semula ke Chennai di mana sejauh tiga jam perjalanan dari Vellore. Setelah kami selesai makan tengahari, kami telah melawat Mahabalipuram di mana kawasan ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1984.

Di Mahabalipuram terdapat empat puluh buah monumen yang berasal dari kurun ke 7 dan ke 8 dari dinasti Pallava. Nama Mahabalipuram adalah berasal daripada nama seorang raja iaitu Raja Mahabali. Maha bermaksud raja yang hebat, Bali bermaksud pengorbanan, dan Puram bermaksud kampung. Maka, mereka pada masa itu telah melakukan upacara korban haiwan dan manusia.

Kami amat kagum dengan kehebatan senibina Mahabalipuram kerana rakyat pada masa itu mampu menghasilkan rekabentuk monumen yang cantik dan kreatif daripada batu. Senibina atau monumen di Mahabalipuram boleh dikategorikan kepada lima berdasarkan cara pembinaannya.

Lima kategori tersebut ialah: monolitik; kuil gua (mandapas – bukit berbatu telah dipotong dan diukir); kuil struktur (kuil masonry dibina daripada batu bata atau blok batu); sesuatu babak telah diabadikan di permukaan bukit berbatu; dan yang terakhir ialah runtuhan yang telah digali.

Ini telah menjadikan Mahabalipuram sebuah kawasan ukiran batu terbuka yang terbesar di dunia. Selepas selesai lawatan di Shore Temple, kami berpeluang melawat pantai Mahabalipuram yang betul – betul terletak di sebelah Shore Temple. Pada ketika itu, terdapat ramai pengunjung tempatan dan kami juga tidak melepaskan peluang mencuba menunggang unta di tepi pantai tersebut.

Mahabalipuram adalah merupakan kawasan yang mempunyai monumen daripada batu di kawasan terbuka paling besar di dunia. Telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1984.

Di hari ketujuh kami di Chennai, kami telah berkunjung ke Dakshina Chitra di mana segala aktiviti kehidupan masyarakat selatan India telah diabadikan di sini dalam bentuk senibina, seni pertukangan, kebudayaan, kepercayaan, dan kesusteraan.

Di sini, kami dapat melihat pelbagai jenis senibina yang mewakili masyarakat di selatan India. Senibina yang terdapat di sini boleh dikategorikan kepada Tamil Nadu, Kerala, Karnataka dan Andhra Pradesh. Setiap kategori tersebut terdapat banyak lagi pecahan jenis senibina yang boleh dilihat di sekitar Dakshina Chitra.

Setelah selesai sesi lawatan kami di sini, kami terus bergerak ke Chennai International Airport. Kami berangkat pulang ke tanahair pada pukul 11.10 malam melalui pesawat AK 12 dan tiba di KLIA2 pada jam 5.30 pagi. Pengembaraan kami ke selatan India telah memberi kami pelbagai kenangan manis yang tidak mungkin kami boleh dapat dari tempat lain.

Di negara India, kami telah mencuba pelbagai jenis makanan dan 90 peratus makanan yang kami ambil adalah vegetarian. Dan minuman yang kami tidak akan lupa ialah Chai iaitu seperti teh Tarik tetapi menggunakan susu lembu yang segar dan mengandungi herba. Tidak dinafikan Chai sudah menjadi minuman kegemaran kami.

Sementara itu, pengalaman menaiki auto rickshaw di bandar Vellore dan Chennai juga adalah amat mengujakan kami disamping merasai sendiri kecekapan pemandu auto rickshaw mengendalikan kenderaan tersebut di celah-celah kenderaan besar. Terima kasih Jabatan Senibina dan Universiti Teknologi Malaysia diatas sokongan yang diberi untuk pengembaraan kami ini. Nandri!

Di Tamil Nadu, kami tidak melepaskan peluang merasai minuman Chai, menaiki auto rickshaw, dan menaiki unta sambal menikmati udara yang segar dari Lautan Hindi.
Terima kasih Prof. E S Dinesh Raghavan, Prof. Dipika M, Prof. Piyush Das dan Prof. Pavithra A diatas hospitaliti yang diberi selama kami di India.

Explore More