April 27, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan PLANMalaysia jalin kerjasama perkasa sektor perancangan bandar nasional

Oleh : Mohd Hafizan bin Hamzah

JOHOR BAHRU, 15 Jan. – Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia) bagi melaksanakan kerjasama penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perancangan bandar dan wilayah.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Dr. Alias Rameli.

Prof. Fauzi berkata bahawa MoU ini adalah selaras dengan Pelan Strategi enVision UTM 2025 dimana UTM telah mengorak langkah yang progresif dengan menjalinkan kerjasama dengan PLANMalaysia menerusi perkongsian dan pemindahan ilmu, teknologi serta inovasi dalam bidang perancangan bandar.

“Melalui MoU ini, kedua belah pihak akan menjalinkan kerjasama yang erat dalam bidang akademik dan penyelidikan.

“Saya dimaklumkan bahawa kedua belah pihak telah bersetuju untuk berkolaborasi bagi menjalankan aktiviti penyelidikan, penerbitan, program pembangunan dan pertukaran staf serta banyak lagi inisiatif melibatkan staf serta pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan ucapan aluannya dalam majlis menandatangani MoU dengan PLANMalaysia yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim petang tadi.

Turut hadir adalah Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali, Pengarah PLANMalaysia Negeri Johor, TPr Saidin Lateh dan Pengerusi Majlis Akreditasi Lembaga Perancangan Bandar Malaysia (LPBM), TPr Datin Noraida Saludin.

Bersempena majlis ini juga, turut diadakan Sesi Penyerahan Sijil Akreditasi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Dr. Alias Rameli kepada Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof Sr. Dr. Kherun Nita Ali.

Penganugerahan ini adalah rentetan daripada lawatan akreditasi penuh bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dengan Kepujian (Sepenuh Masa dan Separuh Masa) yang telah berlangsung pada 1 hingga 2 November 2022 di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor Bahru.

Pemeteraian MoU ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama dan pelaksanaan beberapa aktiviti bersama yang pernah dijalankan sebelum ini antaranya Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia, Diskusi Nasional Dayahuni Malaysia – Aspirasi Belia, Sesi Libat Urus: Diskusi Nasional Indeks Dayahuni Malaysia (iDAM) Zon Tengah, Majlis Pelantikan Profesor Adjung UTM dan Expert Talk PLANMalaysia serta Penganjuran Persidangan Kebangsaan Perancangan Bandar kali ke-25 (2022).

TPr Dr. Alias Rameli (dua kanan) dan Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menunjukkan dokumen MoU yang telah ditandatangani antara UTM dan PLANMalaysia petang tadi.
Sesi Penyerahan Sijil Akreditasi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah PLANMalaysia, TPr Dr. Alias Rameli kepada Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof Sr. Dr. Kherun Nita Ali.

Explore More