MUAR, 10 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program Latihan Teknikal Asas Pertanian Organik (LESTARI), sebuah program pemindahan ilmu teknologi pertanian bertempat di Madrasah Darul Istiqamah, Muar.
Penganjuran program turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian Daerah Muar dengan penyertaan 18 orang peserta perintis yang ditaja sepenuhnya oleh Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) di bawah Geran Sumbangan SKUM (GSS) Tahun 2022.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Prof Madya Ir. Dr. Norzita Ngadi, Timbalan Pengarah (Akademik & Penyelidikan) UTM Kampus Pagoh.
Program yang diterajui Dr. Abd Rahman Jabir Mohd Din dan staf Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocess (ICA) UTM Kampus Pagoh ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal pertanian melibatkan fertigasi rock melon dan penghasilan baja biokompos Azolla untuk memastikan sumber makanan yang mampan.
Kaedah fertigasi ini terbukti dapat menghasilkan buah rock melon dengan cepat dan berkualiti tinggi. Dengan teknik tuaian dan pengurusan tanaman yang betul, keuntungan hasil jualan boleh diraih.
Selain itu, penghasilan baja biokompos berasaskan Azolla juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia dan berkonsepkan lestari alam sekitar. Kadar elemen nitrogen yang tinggi pada Azolla menjadi daya penarik kepada produk baja untuk diketengahkan.
Pada sesi perasmian program, penyerahan produk protaip baja biokompos Azolla dan set kawalan organik telah diserahkan kepada wakil Madrasah Darul Istiqamah, Ustaz Md Fadlun bin Md Noor.
Menerusi program ini, para peserta juga turut didedahkan dengan asas teori teknologi pertanian berasaskan fertigasi dan formulasi pengkomposan yang telah ditambahbaik dengan bantuan tenaga pengajar UTM sebelum sesi praktikal dibuat bagi melengkapkan pembelajaran.
Pemindahan teknologi kepada kumpulan sasar ini diharapkan dapat menanam sifat berdaya maju serta kompeten untuk menggunapakai teknologi pertanian ini bagi tujuan penjanaan pendapatan.
Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada anak-anak yatim dalam kategori remaja yang nasib mereka tidak menentu dan memerlukan perlindungan secara kolektif daripada semua pihak dalam masyarakat.
Perlindungan ini bukan sahaja dalam bentuk wang yang seringkali diterima oleh mereka tetapi peningkatan ilmu, kemahiran dan cara pemikiran yang akan diaplikasi untuk penyelesaian yang berpanjangan.
Dengan pengetahuan yang telah dipindahkan ini, para peserta diharap boleh meneruskan usaha penghasilan makanan khususnya rock melon di peringkat lokaliti Madrasah. Pihak UTM akan menjadi fasilitator dan penasihat dalam menjayakan projek fertigasi peserta di Madrasah Darul Istiqamah supaya hasil mereka dapat dipertingkat.
Menggunapakai strategi untuk memperluaskan teknologi dan sumber sedia ada, pertanian lestari dalam kawalan organik akan dijadikan salah satu agenda penting UTM dalam usaha memastikan keterjaminan makanan di peringkat komuniti.