April 28, 2024

Search
Close this search box.

Kenali kehidupan dan ekosistem Denai Sungai Melayu

JOHOR BAHRU, 17 Dis. – Kelab KRP Riverdale dibawah Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Rahman Putra (JKM KRP) mengadakan program Denai Sungai Melayu pada 6, 16 dan 17 Disember 2022. Program ini adalah hasil kerjasama bersama pihak Majlis Bandaraya Iskandar Putri, Pusat Khidmat ADUN Kota Iskandar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Komuniti Kampung Sungai Melayu dan Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS).

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Pandak bin Ahmad, Pusat Khidmat ADUN Kota Iskandar, manakala majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah UTMCS, Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil bin Md Din.

40 peserta yang terlibat terdiri daripada golongan belia Kampung Sungai Melayu, golongan belia Kenari Kangkar Pulai, pelajar Institusi Pengajian Guru Sultan Ibrahim, sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Mahasiswa Berkarisma Malaysia (Karisma) dan pelajar UTM.

Sementara itu, seramai 40 orang sukarelawan yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa program terdiri daripada mahasiswa UTM dari pelbagai kolej, diketuai Saudari Esmeralda Sasha Siah anak Adman Renggie @ Edmund Renggie  dan Felo Penasihat Program, Dr. Norhidayah binti Md. Yunus.

Program ini adalah sebagai simbolik sokongan daripada pihak universiti terutama mahasiswa dalam menyahut seruan program Denai Sungai Kebangsaaan anjuran Kementerian Alam Sekitar (KASA).

Tambahan pula, program ini adalah kesinambungan daripada program Denai Sungai Komuniti (DSKom) anjuran UTMCS khususnya bagi pengenalan modul Biodiversiti Riparian Sungai: Pangkalan Data Flora & Fauna Melalui Sains Warga Untuk Membina Rasa Sepunyaan (Sense Of Belonging).

Program ini juga bertujuan ingin menarik minat orang awam dan komuniti untuk mengenali dan memelihara sungai khususnya Sungai Melayu yang kaya dengan biodiversiti riparian sungai.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini merangkumi 3 siri iaitu Siri 1: Pemindahan Ilmu Penggunaan Aplikasi iNaturalist (6 Disember 2022), Siri 2: Panorama Denai Explorace (16hb Disember 2022) dan Siri 3: Explore Nature x River Cruising (17hb Disember 2022).

Dalam Siri 1: Pemindahan Ilmu Penggunaan Aplikasi iNaturalist, fasilitator program yang terdiri daripada pelajar UTM, mempelajari kepentingan, fungsi dan penggunaan aplikasi iNaturalist daripada kumpulan pensyarah penyelidik diketuai oleh Dr Ak. Mohd Rafiq bin Ak. Matusin.

Pengetahuan aplikasi iNaturalist ini akan diajarkan semula kepada para peserta oleh ahli jawatankuasa program. iNaturalist adalah satu aplikasi berkenaan inventori spesies flora dan fauna hidupan yang boleh dikenalpasti melalui memuat naik gambar, atau bunyi-bunyian haiwan seperti kicauan burung.

Nama spesies flora fauna dapat diketahui dengan pengesahan atau cadangan daripada pakar-pakar seluruh dunia. Fail projek inventori khusus bagi Sungai Melayu juga telah dikumpulkan di dalam Projek Mergastua Sungai Melayu.

Oleh itu, inventori mengenai spesies flora fauna Sungai Melayu dapat dikongsi dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Ini juga dapat menarik minat orang awam untuk memelihara hutan paya bakau yang merupakan habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Seterusnya, dalam Siri 2: Panorama Denai Explorace, aktiviti explorace akan diadakan di persekitaran Kampung Sungai Melayu. Pada setiap check-point, para fasilitator yang bertugas akan memberi tugasan yang perlu dirungkai dan diselesaikan oleh setiap ahli kumpulan.

Sepanjang aktiviti, setiap kumpulan perlu mengutip sampah di kawasan sekitar dan kutipan sampah yang terbanyak akan diberi hadiah berharga. Dengan ini, mendekatkan para peserta kepada persekitaran sungai dan membuka minda akan kepentingan memulihara sungai demi kelangsungan sosial dan alam sekitar.

Akhir sekali, dalam Siri 3: Explore Nature x River Cruising, para peserta dapat mengenali spesies tumbuhan dan hidupan yang terdapat di sekitar Sungai Melayu. Pemandu bot yang sudah tidak asing dengan persekitaran Sungai Melayu akan membawa peserta melawat ke beberapa tempat yang menjadi tumpuan hidupan akuatik atau burung-burung seperti ketam, udang dan sebagainya.

Para fasilitator dapat menunjukkan demonstrasi penggunaan aplikasi ini secara langsung kepada para peserta sambil menaiki bot yang dipandu oleh penduduk kampung. Pengetahuan umum penduduk Kampung Sungai Melayu tentang kehidupan flora fauna di sungai ini dapat ditambah baik dengan spesifikasi secara saintifik menggunakan aplikasi iNaturalist ini.

Melalui penggunaan aplikasi iNaturalist, para peserta akan memuat naik gambar tumbuhan atau hidupan yang dijumpai, nama spesies dapat diketahui dengan mudah dan tepat. Sebanyak 121 pemerhatian (observation) dan 33 spesies flora fauna dapat dikenalpasti melalui program ini.

Kesimpulannya, biodiversiti riparian sungai haruslah kekal dipelihara daripada ancaman pencemaran dan aktiviti yang mengganggu ekosistem sungai. Program ini mampu memberi pendedahan awal kepada masyarakat agar lebih cakna akan kelestarian sungai-sungai yang merupakan nadi kehidupan dan habitat bagi hidupan akuatik dan sebagainya.

Nilai insaniah seperti semangat kesukarelawanan, semangat berpasukan dan tanggungjawab memelihara alam sekitar dapat diterapkan secara tidak langsung membentuk masyarakat yang cakna dan cinta akan alam sekitar.

Explore More