November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Dis. – Pemimpin yang mempunyai integriti merujuk kepada pemimpin yang  mempunyai prinsip moral yang kukuh, berpegang pada kata-kata dan sentiasa melakukan perkara yang betul dan mengikut etika. Mereka mempunyai sikap positif  yang sangat dihargai  dan menunjukkan standard kelakuan etika yang tinggi, oleh itu mereka sentiasa menjadi ‘role model’.

Mereka juga berupaya menggalakkan budaya kerja positif yang mendorong orang bawahannya untuk melakukan yang terbaik dan seterusnya akan  meningkatkan kesetiaan mereka kepada organisasi.

Memimpin dengan integriti juga boleh meningkatkan reputasi jenama organisasi yang dipimpin. Organisasi dengan pasukan pengurusan yang komited kepada standard etika yang tinggi menetapkan satu piawai tentang bagaimana organisasi beroperasi dan berkomunikasi dengan pelanggan.

Ini boleh meningkatkan kepercayaan pelanggan atau pemegang taruh untuk terus setia dan sterusnya ini akan memberi keuntungan kepada organisasi. Sekiranya organisasi dikaitkan dengan kepimpinan yang berintegriti, komuniti atau masayarakat luar akan memandang tinggi dan positif kepada sesebuah organisasi.

Berikut adalah kualiti seorang pemimpin yang berintegriti:

  1. Mempunyai prinsip yang jelas: Pemimpin yang berintegriti mempunyai prinsip dan matlamat dalam memimpin organisasinya. Mereka berpegang teguh kepada prinsip dan matlamat yang jelas dan dapat membimbing mereka dalam membuat keputusan  dan mengambil tindakan untuk kepentingan organisasi.
  2. Mempunyai kepercayaan yang konsisten : Pemimpin yang berintegriti tetap komited dengan kepercayaan mereka walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan. Seorang pemimpin yang kekal konsisten dalam kepercayaan mereka akan memberi keyakinan kepada orang bawahannya terhadap keputusan mereka dan membawa kepada kestabilan dalam organisasi.
  3. Boleh dipercayai : Pemimpin yang berintegriti sentiasa ‘walk the talk’. Mereka akan bertindak seperti apa yang mereka telah janjikan. Orang bawahannya mempunyai keyakinan terhadap pertimbangan dan keupayaan pemimpin berintegriti kerana mereka boleh dipercayai dalam apa-apa situasi. Pemimpin yang berintegriti menunjukkan keyakinan terhadap keupayaan pasukan mereka dan  sentiasa menyokong serta memberi motivasi untuk terus cemerlang.
  4. Sentiasa jujur : Pemimpin yang berintegriti sentiasa bercakap benar dan jujur. Kejujuran membantu mengelakkan masalah kecil daripada menjadi mudarat kepada organisasi. Bersikap jujur ​​juga membantu untuk memperoleh kepercayaan orang lain dalam sesebuah organisasi dan membantu untuk membina hubungan yang baik dengan ahli pasukan yang lain.
  5. Memimpin melalui teladan: Pemimpin yang berintegriti mempunyai karisma, sentiasa bersikap positif, autentik dan proaktif. Setiap tindak tanduk mereka berlandaskan nilai dan etika yang betul. Mereka percaya bahawa segala tindakan mereka diperhatikan dan dengan itu mereka mestilah sentiasa menunjukkan teladan yang baik.
  6. Mempunyai akauntabiliti : Pemimpin yang berintegriti menganggap diri mereka bertanggungjawab di atas tindakan mereka. Mereka tidak malu untuk mengakui kesilapan mereka dan cuba mencari jalan untuk memperbaiki kesilapan tersebut. Sikap pemimpin sebegini menunjukkan komitmen mereka yang tinggi dan berterusan terhadap set teras kepercayaan mereka.
  7. Mewujudkan hubungan baik: Pemimpin yang berintegriti menekankan kepada nilai dalam memupuk hubungan yang dibina atas kepercayaan dan rasa hormat. Mereka menunjukkan rasa hormat kepada semua tanpa mengira tahap mereka dalam organisasi. Mereka sentiasa mendengar pendapat, idea dan keluhan subordinatnya dan cuba untuk memahami perasaan mereka. Mereka sentiasa mempertimbangkan kesan kepada orang lain dalam membuat sesuatu keputusan atau mengambil tindakan. Sifat ini memberi kesan yang positif  kepada subordinat dan menetapkan satu standard tingkah laku yang terbaik dalam organisasi.
  8. Memberi sokongan positif: Pemimpin yang berintegriti mengiktiraf pencapaian pasukan mereka dan menyokong mereka secara berterusan. Mereka memberikan arahan tentang sesuatu tugasan dan kemudian menggalakkan subordinat untuk melaksanakannya dan sentiasa mempercayai mereka untuk menjayakan tugas tersebut sebaik mungkin. Selain memberi sokongan dalam bentuk material, sumber manusia dan lain lain sumber , mereka juga memberi motivasi dan inspirasi kepada subordinatnya.
  9. Sentiasa terbuka kepada maklum balas: Pemimpin yang berintegriti adalah pendengar yang baik. Mereka mendengar pendapat orang lain, walaupun apa yang didengari itu adalah satu kritikan yang negatif terhadap mereka. Keupayaan untuk mendengar dan menerima kritikan menunjukkan rasa hormat pemimpin berintegriti terhadap pendapat orang lain.  Kritikan diterima secara positif dan mereka akan mencari jalan untuk meningkatkan diri dan pendekatan  dimasa depan.

Pemimpin berintergriti sentiasa membuat penilaian keatas diri sendiri dan mendapatkan maklum balas bagaimana orang lain melihat mereka. Memahami cara orang lain melihat mereka boleh membantu untuk  menentukan sama ada penambaikbaikan perlu dibuat atau tidak keatas sikap, kualiti  dan pendekatan mereka dalam memimpin. Usaha ini adalah penting  untuk memastikan pemimpin itu sentiasa relevan dan diterima oleh subordinatnya dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan organisasi yang dipimpin.

 

Explore More