Oleh Nur ‘Aina Osman
JOHOR BAHRU, 16 Dis. – Tokoh Alumni UTM dari Indonesia, Rektor Universitas Sriwijaya (UNSRI) Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaf, MSCE, IPU, ASEAN Eng, melakar pencapaian manis apabila dinobatkan sebagai Rektor Terbaik I Perguruan Tinggi Negeri Badan Layanan Umum (PTN-BLU) 2022 pada Anugerah Direktorat Jenderal Pendidikan Tinggi, Riset, dan Teknologi (Anugerah Diktiristek) 2022, di Jakarta malam tadi.
Penganugerahan ini turut menjadi suatu kebanggaan buat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila salah seorang tokoh alumninya mendapat pengikitirafan atas pencapaian dan kepakaran dalam sektor pendidikan berteraskan penyelidikan dan teknologi lebih-lebih lagi anugerah ini mengangkat rektor terbaik dalam kalangan rektor universiti di seluruh Indonesia.
Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaf merupakan graduan pengajian Doktor Falsafah (Struktur dan Keluli) Fakulti Kejuruteraan Awam UTM pada tahun 2007.
Plt Sekretaris Ditjen Diktiristek, Prof Tjitjik Srie Tjahjandarie berkata, “Anugerah ini juga memberikan apresiasi pada mitra instansi dan lembaga, dunia usaha dan industri serta para jurnalis yang sudah berpartisipasi aktif dalam mendukung transformasi pendidikan tinggi.”
Menurutnya lagi, Anugerah Diktiristek adalah acara tahunan yang turut mengiktiraf pencapaian pihak-pihak yang terlibat dalam usaha memacu pembangunan negara.
Pada masa yang sama, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail turut menzahirkan ucapan tahniah serta amat berbangga dengan pencapaian Prof. Dr. Ir. H. Anis khususnya dalam usaha alumni tersohor itu memperkasakan hubungan antara kedua-dua universiti (UTM-UNSRI) menerusi pelbagai bidang kerjasama akademik dan penyelidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.