April 28, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Mohd Fadthul Ikmal Misnal 

JOHOR BAHRU, 7 Dis. – Cabaran paling besar golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia pada hari ini  adalah mendapat peluang saksama dalam masyarakat, ditambah pula dengan sikap negatif dan diskriminasi ekoran kurangnya kesedaran mengenai keupayaan golongan tersebut. Masyarakat hari ini perlu berubah sikap dengan memberikan golongan ini hak untuk hidup seperti orang normal, sejajar dengan tema sambutan Hari OKU Sedunia 2022 iaitu “Transformasi Ke Arah Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi Dalam Memenuhi Aksesibiliti dan Kesaksamaan OKU”.

Golongan OKU telah diiktiraf sebagai antara kelompok penting masyarakat yang mempunyai potensi dan dinamika dalam pembangunan negara. Berdasarkan Laporan Statistik Pendidikan Tinggi 2021: Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah pelajar OKU di universiti awam adalah seramai 997 orang pada tahun 2020 dan 847 orang pada tahun 2021. Sesungguhnya, ia satu jumlah yang signifikan yang memerlukan pengurusan universiti terutama pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) setiap universiti untuk ambil cakna.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin turun padang melihat sendiri keadaan bilik yang didiami pelajar OKU, Nur Hanis Zainalabidin di Kolej 9.

“Minggu Mesra Mahasiswa (3M) 2022 baru-baru ini telah mencatatkan kemasukan pelajar OKU tahun pertama seramai lapan orang. Oleh yang demikian, penting bagi pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk sentiasa bersedia terutama daripada aspek kemudahan bagi memudahkan pelajar OKU mendapat akses pendidikan yang sama rata dengan pelajar normal, seiring dengan Dasar Inklusif OKU yang telah diperkenalkan KPT pada tahun 2018. Dengan adanya dasar Inklusif OKU ini, negara mampu menyediakan pelajar OKU yang mampu berdaya saing dan seterusnya memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan negara,” jelas Timbalan Pendaftar Bahagian Kemudahan, Kebajikan & Tatatertib Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, En. Arman Md Yasin.

Bagi memenuhi hasrat Dasar Inklusif OKU, UTM sedaya upaya menyediakan persekitaran kolej kediaman dan pembelajaran yang kondusif terutama kepada pelajar OKU. Untuk tujuan tersebut, UTM telah mewujudkan infrastruktur mesra pelajar OKU sebagaimana piawaian kod amalan rekabentuk sejagat, MS1184 (Universal Design and Accessibility in the Built Environment – Code of Practice) yang terkini.

“Sementara itu, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) atau JTNCHEP telah menjadikan dua buah kolej kediaman di UTM sebagai kolej kediaman bagi pelajar OKU, iaitu Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dan Kolej 9 & 10. Pelajar OKU di dua buah kolej kediaman ini diberi kemudahan bilik dilengkapi bilik air atau bilik yang hampir dengan bilik air, laluan khas pelajar berkerusi roda, kafeteria yang berdekatan (Arked Angkasa dan Arked Lestari) serta liputan wifi yang memudahkan akses pengajaran dan pembelajaran. Malah, JTNCHEP juga ada menyediakan perkhidmatan pengangkutan sekiranya pelajar OKU menghadapi masalah pergerakan menghadiri kuliah dan kelas di fakulti-fakulti,” tambah En. Arman.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad turun padang melihat sendiri fasiliti bilik air yang terletak berhampiran bilik pelajar OKU.

“Walaupun fokus lebih tertumpu kepada aspek infrastruktur dan kemudahan fasiliti kepada pelajar OKU, pengurusan UTM sedar bahawa sokongan dalam bentuk komunikasi, kesihatan mental dan sistem pembelajaran amat diperlukan bagi memastikan pelajar OKU tidak ketinggalan. Dalam aspek kesihatan mental, Pusat Kaunseling UTM yang juga entiti di bawah JTNCHEP sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat dan kaunseling kepada pelajar OKU yang terkesan. Lima orang pegawai psikologi atau kaunselor UTM bertauliah sentiasa bersiap sedia membantu pelajar OKU dalam apa jua keadaan.

“Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran pula, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) sentiasa memastikan pelaksanaan sistem pembelajaran yang fleksibel demi memudahkan pelajar OKU mengikutinya. Aktiviti kuliah dan kelas berorientasikan teori boleh dilaksanakan secara hibrid, yang mana pelajar OKU diberi pilihan untuk mengikuti kelas secara dalam talian. Dalam masa yang sama, UTM perlu mempertingkat sokongan dalam bentuk komunikasi, seperti menyediakan staf dan pensyarah yang terlatih dalam memahami bahasa isyarat bagi betul-betul menepati aspirasi Dasar Inklusif OKU.

“Menyentuh aspek pencapaian pelajar OKU di UTM, sistem sokongan yang telah diwujudkan UTM telah terbukti melahirkan graduan OKU yang telah memberi impak kepada masyarakat. Misalnya, Dr. Ruzimi Mohamed, yang lahir tanpa sepasang kaki dan tangan kiri, telah diiktiraf sebagai Ikon OKU UTM. Beliau sememangnya menepati ciri DNA UTM, apabila meraih diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah dari UTM.

Dr. Ruzimi Mohamed diiktiraf Ikon OKU UTM.

“Pencapaian Dr. Ruzimi membuktikan UTM telah menyediakan sistem sokongan yang menepati Dasar Inklusif OKU, sekali gus membuktikan pelajar OKU juga mampu meraih kecemerlangan dalam setiap peringkat pengajian. Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) baru-baru ini juga menyaksikan kecemerlangan Sani Ahmad yang meraih ijazah sarjana dengan PNGK 3.94 walaupun mengalami mental bipolar disorder type II. Seorang lagi graduan OKU, Anisya Anis Sariff cemerlang meraih Anugerah Dekan dengan PNGK 3.77 walaupun menghidap bipolar disorder,” ulas En. Arman di akhir wawancara.

Sani Ahmad cemerlang meraih ijazah sarjana dengan PNGK 3.94 walaupun mengalami mental bipolar disorder type II.

 

Anisya Anis Sariff cemerlang meraih Anugerah Dekan dengan PNGK 3.77 walaupun menghidap bipolar disorder.

Tuntasnya, sistem pendidikan OKU yang dilaksanakan di UTM menggunakan penanda aras Dasar Inklusif OKU KPT, merangkumi semua aspek kurikulum, infrastruktur, kemudahan pengajaran dan pembelajaran. Walaubagaimanapun, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh pengurusan UTM bagi mencapai matlamat pendidikan inklusif OKU dalam erti kata sebenar. Sinergi merentas pusat tanggungjawab amat diperlukan dalam usaha untuk merealisasikan hasrat UTM untuk menjadi universiti mesra OKU terutama dalam aspek sokongan komunikasi dan kesihatan mental.

UTM juga harus mengorak langkah mewujudkan persekitaran mesra OKU dalam kawasan kampus, tidak terhad kepada kemudahan infrastruktur dan fasiliti fizikal semata-mata, tetapi mencakupi juga dalam aspek menyediakan staf yang terlatih untuk berkomunikasi dengan pelajar OKU dan mengadakan program-program sokongan supaya pelajar OKU tidak berasa terpinggir dan mampu menjalani rutin normal sama seperti pelajar yang lain.

Explore More