April 28, 2024

Search
Close this search box.

Dr. Eleen Dayana Dinobat Penerima Anugerah Canselor dalam MK66

Oleh: Nurul Nazihah binti Jamal 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – Terpilih sebagai salah seorang pemegang biasiswa Tan Sri Ainuddin Wahid sejak tahun 2018, Dr. Eleen Dayana Mohamed Isa, 30, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi yang ke-66 ini. 

“Alhamdulillah syukur atas penganugerahan yang diberikan kepada saya.” ucap Dr. Eleen dengan nada yang gembira. 

Antara pencapaian beliau sepanjang bergelar pelajar UTM adalah, beliau pernah memenangi tempat ketiga bagi pertandingan Tesis 3 Minit di peringkat kebangsaan pada tahun 2019 dan dinobatkan sebagai finalis bagi program FameLab yang dianjurkan oleh British Council pada tahun 2020. 

Selain itu, beliau juga bergiat aktif dalam bidang penulisan artikel dan jurnal berindeks Scopus dan Web of Science. Lebih daripada 10 manuskrip berjaya diterbitkan sama ada sebagai penulis utama dan bersama. Pada tahun 2021, beliau juga pernah menerima hadiah penyelidikan dalam Polimer dan Sains Bahan oleh pihak Institut Kimia Malaysia (IKM). 

Menjadi pelajar PhD bukanlah suatu yang mudah. Banyak cabaran yang dihadapi beliau terutama apabila UTM menutup kampus sewaktu pandemik Covid-19. Ia merupakan cabaran terbesar buat Dr. Eleen kerana  penyelidikan beliau bergantung seratus peratus kepada hasil kerja di dalam makmal. 

Namun dengan rasa syukur beliau berkata UTM tetap memberi peluang kepada pelajarnya supaya dapat menyelesaikan segala masalah berkaitan dengan penyelidikan, pembelajaran dan penggunaan fasiliti. 

Pasca Covid-19 pada tahun 2020 menjadi titik penentu dalam kemajuan pengajian PhD beliau apabila UTM telah memberi kebenaran kepada para pelajar yang bergantung kepada fasiliti universiti untuk masuk semula ke kampus. Waima kebenaran yang diterima itu penuh dengan batasan, beliau tetap bersyukur kerana ia tetap memberi kemajuan kepada projeknya. 

Graduan PhD yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini, menyifatkan sikap optimistik, komited dan rajin perlu disematkan dalam diri. Baginya sikap ini merupakan rahsia kejayaan buat beliau yang boleh diguna pakai oleh para mahasiswa dan mahasiswi UTM. 

Prinsip hidupnya adalah belajar seumur hidup. 

“jangan jadikan detik terimanya ijazah kita pada hari ini, sebagai titik penyudah untuk kita menuntut ilmu. Teruskan perjalanan kita  untuk menuntut ilmu demi kebaikan semua manusia,  masyarakat  di dunia dan akhirat.” Jelas beliau lagi. 

Apabila ditanya gerangan yang menjadi penyokong utama beliau, Dr. Eleen dengan senang hati memberitahu ibunya, Hafsah binti Sulaiman, 74 tahun, merupakan individu menjadi tunjang kejayaan beliau. Ibu beliau yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya dari segi moral, kewangan, tenaga dan masa. 

“Saya sangat bersyukur kerana mak banyak memberi sokongan moral, dorongan, kasih sayang tidak kira masa dan tenaga. Berkat bantuan daripada mak saya, perjalanan kehidupan saya sebagai pelajar di UTM jadi mudah dan cepat. Tanpa mak siapalah saya.” kata Dr. Eleen. 

Kini, Dr. Eleen telah menjadi salah seorang felo pasca kedoktoran di UTM disamping menjawat jawatan sebagai pensyarah separuh masa di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan di UTM. 

Dr. Eleen juga berpesan kepada semua mahasiswa dan mahasiswa UTM untuk menuntut ilmu dengan dengan niat yang tulus dan ikhlas, bukan kerana dek mahukan gelaran yang tinggi ataupun mahukan manfaat semata-mata. Katanya, pulangan yang tinggi dan kejayaan yang dicapai hanyalah bonus kepada individu selepas menempuhi segala cabaran. 

Explore More