November 29, 2024

Search
Close this search box.

39 Staf MCMC Cemerlang Bergraduasi dalam Program Khas MBA Kelolaan AHIBS UTM

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – Seramai 39 staf Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya menamatkan pengajian program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kelolaan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan cemerlang.

Kesemua mereka telah menerima skrol ijazah sarjana bersama-sama 608 graduan lain dalam sesi kedua Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Program khas MBA yang diikuti oleh 39 staf SKMM ini merupakan kolaborasi unik antara MCMC dan AHIBS di bawah inisiatif The Accelerated Leadership Program Series (ALPs). 

ALPs merupakan program strategik pembangunan kepimpinan MCMC dalam usaha mempersiapkan bakat-bakat yang berpotensi tinggi sekali gus membentuk bakal pemimpin digital negara masa hadapan.

Mereka yang mengikuti program ini juga memperoleh sijil profesional dalam pengurusan projek, di samping mengikuti modul teras MBA sedia ada.

Sementara itu, Dayang Aidah Awang Piut, salah seorang graduan MBA dalam program ALPs berkata, “cabaran utama semasa pengajian adalah membahagikan masa antara tugasan hakiki, tugasan pengajian dan tugasan rumah tangga.

“Menjadi pelajar separuh masa terutama pada musim pandemik Covid-19 (Oktober 2020-Disember 2021) bukan satu perkara mudah, ditambah pula mempunyai tiga orang anak yang sedang membesar.

“Alhamdulillah, berkat sokongan suami, penyelia, Prof. Madya Dr. Noorminshah A. Iahad dan pengurusan MCMC, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian, dan terpilih menerima Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik,” katanya kepada media ketika ditemui.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, “Program khas MBA ini merupakan program kerjasama berimpak antara universiti dan agensi yang menawarkan pengalaman baru daripada aspek akademik kepada bakal teknokrat digital negara.

“Ini merupakan high potential leadership program kepada staf MCMC. Kita tidak akan berhenti setakat ini. Akan ada lagi kohort MCMC yang akan ditaja untuk menyambung pengajian dalam program ini,” ulas Ketua Bahagian Modal Insan MCMC, Dr. Murugappan a/l Subramaniam.

“AHIBS UTM sememangnya amat mengalu-alukan lagi bagi mana-mana industri dan agensi untuk berkolaborasi dalam program seperti ini. Secara tidak langsung, program MBA ini menjadi nilai tambah dalam membentuk modal insan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara,” jelas Dekan AHIBS, Prof. Madya Dr. Rosmini Omar.

Hadir sama dalam sidang media meraikan kesemua 39 staf MCMC adalah Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Ketua Bahagian Modal Insan MCMC, Dr. Murugappan a/l Subramaniam dan Dekan AHIBS, Prof. Madya Dr. Rosmini Omar.

Explore More