November 22, 2024

Search
Close this search box.

Anak Peniaga Nasi Lemak Cemerlang Rangkul Anugerah Pelajaran Diraja

Oleh: Muhammad Hakim bin Mohd Zain 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – “Kejayaan ini bukan untuk diri saya sahaja, bahkan hadiah buat ibu saya yang tercinta”, ujar Nursahira Enji, 25, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia Ke-66 hari ini.

Ibunya, Yusnisar Muhamad, 56, merupakan peniaga nasi lemak di sekitar kawasan perumahannya. Setelah pemergian ayahnya, Enji Yusof, ibunya telah mengambil tanggungjawab memulakan perniagaan nasi lemak tersebut bagi menyara empat orang adik beradiknya untuk mengejar cita-cita mereka ke menara gading. Pulangan modal dan keuntungan perniagaan ibunya itu sedikit sebanyak dapat menampung pembiayaan yuran pengajian mereka berempat.

Nursahira merakam detik istimewa bersama ibu dan bapa tirinya.

“Berbekalkan azam yang tinggi, dan dorongan semangat oleh ibu dan adik beradik, saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan ingin mengubah nasib keluarga saya”, ujar Nursahira yang menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran setelah berjaya menggenggam segulung ijazah yang diimpikan selama ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) di Universiti Teknologi Malaysia ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah beliau turut bergiat aktif dalam bidang tarian bersama kelab Citra Daksina sejak berada di tahun 1 pengajiannya. 

Minatnya terhadap seni tari telah membawa beliau untuk mewakili UTM ke pentas kejohanan yang berprestij tinggi. Lebih manis lagi, beliau turut dinobatkan sebagai johan pada Festival Kesenian Zapin Anak Johor 2019 yang lalu. Bukan itu sahaja, beliau turut menerima undangan untuk sesi-sesi persembahan tarian sepanjang bersama kelab tersebut.

Di sebalik kejayaan ini, pasti hadir 1001 cabaran dan halangan yang dihadapinya sepanjang empat tahun pengajian. Lebih-lebih lagi apabila negara berhadapan dengan senario pandemik wabak Covid-19 yang melanda negara bermula pada Februari 2020 yang lalu. 

Namun, masalah capaian internet dan kekangan untuk bersemuka bersama rakan-rakan tidak mematahkan semangat gadis kelahiran Kuala Lumpur ini untuk memastikan beliau terus memberikan sepenuh komitmen terhadap tugasan yang diberikan oleh para pensyarah walaupun terpaksa menghadiri kelas secara dalam talian selama tiga semester pengajiannya.

Ditanya rahsia kejayaan, anak bongsu daripada empat beradik itu berkongsi beberapa tips yang sering diamalkan untuk mengekalkan momentum kecemerlangan dalam pelajaran walaupun turut aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum di UTM. 

“Saya gemar membuat nota ringkas dalam bentuk mind map bagi setiap topik yang dipelajari memandangkan ia memudahkan saya untuk membaca dan memahaminya. Selain perlunya fokus di dalam kelas, saya akan mencatit nota atau kata kunci yang penting sewaktu pensyarah mengajar”.

“Bahagikan masa dengan bijak dan tidak terlalu tertekan mengulang kaji pelajaran adalah resipi kejayaan saya”, tambah Nursahira yang juga merupakan bekas graduan Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor sesi 2015/2018.

Nursahira berhasrat untuk lebih fokus dalam kerjayanya terlebih dahulu setelah menamatkan pengajian di peringat ijazah sarjana. Beliau kini bekerja separuh masa sebagai Pengendali Perkhidmatan Pelanggan secara dalam talian sementara menunggu keputusan temuduga sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah syarikat terkemuka penyelenggaraan aeroangkasa, Airod Sdn. Bhd..

“Cari dan pilihlah rakan yang baik dan mampu mendorong kita ke arah kebaikan”, katanya sebagai  pesanan dan nasihat kepada mahasiswa yang sedang berjuang dalam mengejar segulung ijazah.

“Manfaatkan masa bersama rakan-rakan di universiti dan ambil peluang yang ada untuk mengasah bakat dan potensi diri terutamanya dalam aktiviti-aktiviti di luar kelas”, tambah Nursahira yang berharap agar bakal graduan di luar sana dapat menyiapkan diri dalam pelbagai aspek bagi persiapan di alam kerjaya yang lebih mencabar kelak.

“Buat Nursahira Enji – Semoga kejayaan ini menjadi pulangan yang terbaik di sebalik pengorbanan ibu dan adik-beradik anda. Terus cemerlang melakar nama di luar sana!”

Explore More