November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – Perjalanan penuh liku dan ranjau sepanjang menuntut di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebenarnya boleh diatasi melalui pendekatan pembelajaran secara berkumpulan, PhD Peers.

Kaedah ini telah diaplikasikan dengan jayanya oleh tiga sahabat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor yang berjaya menamatkan pengajian PhD masing-masing dalam tempoh waktu yang ditetapkan (graduate on time) pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-66 (MK66) hari ini.

Graduan tersebut Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Dr Amirul Haffiz Ariff dan juga Dr Mohd Shahrizan Sahid sempat berkongsi pengalaman perjalanan PhD ketika diwawancara selepas selesai majlis penganugerahan sesi pertama.

“Perjalanan kami bertiga bermula sejak menyambung pengajian Sarjana Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah di bawah kerjasama Pejabat SUK Johor dan UTM ketika itu. Alhamdulillah, kami berjaya bergraduasi pada tahun 2016.

“Tidak terfikir pula kami untuk menyambung lagi pengajian ke peringkat PhD. Mungkin disebabkan risau dengan pelbagai cabaran yang bakal ditempoh sepanjang pengajian. Siapa sahaja yang tidak bimbang dengan momokan dunia PhD sebagai “Permanent Head Damage with Lonely Journey”.

“Atas dorongan daripada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, kami memulakan langkah perjalanan PhD masing-masing tanpa meninggalkan tugas hakiki sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor. Status sebagai pelajar separuh masa tentu sahaja memberikan cabaran yang tersendiri.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang memberikan kami sedikit kelonggaran pada setiap hari Khamis. Bolehlah kami manfaatkannya untuk mengatur pertemuan dan perbincangan bersama penyelia masing-masing. Secara tidak langsung, hari Khamis adalah PhD Journey Day buat kami.

Tiga sahabat ini bergambar bersama DYMM Tuanku Canselor UTM, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi, dan Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

“Pendekatan PhD Peers pula sememangnya membantu kami bertiga untuk lebih fokus dalam pengajian. Seolah-olah ia menjadi satu platform untuk saling mengingatkan dalam kalangan kami bertiga bagi mencapai progress yang ditetapkan pada setiap minggu. Sememangnya PhD Peers menjadi satu sistem sokongan dalam usaha menyempurnakan penyelidikan masing-masing,” jelas Dr. Suhailizan.

PhD Peers bukan sahaja melibatkan kami bertiga sahaja, malah ia melibatkan penyelia kami masing-masing. Jadinya, apabila berlaku sesi perbincangan, kami bukan sahaja mendapat panduan dan bimbingan daripada penyelia sendiri, malah turut menerima input berguna daripada penyelia rakan-rakan. Inisiatif ini menjadi medan perkongsian dan pertukaran pengetahuan dalam melengkapkan pengajian PhD kami.

Ketika ditanya mengenai motivasi menghadapi liku-liku perjalanan PhD, Dr Suhailizan berkata pelajar PhD seharusnya kreatif dan inovatif dalam memastikan proses pengajian lebih seronok dan bermakna.

“Perlu ada sikap passion, perseverance and determination di samping tidak putus-putus memanjatkan doa agar cabaran perjalanan PhD itu dapat ditempuh dengan jayanya,” tambah beliau lagi.

“Mengambil kira cabaran kerana tidak boleh mengambil cuti belajar, kami telah melaksanakan pendekatan PhD Peers ini supaya boleh digunakan oleh generasi pada masa hadapan bagi memudahkan proses pengajian masing-masing.

“Alhamdulillah, pendekatan ini telah terbukti berjaya. Kami mendaftar pada hari yang sama, menghadapi proposal defence dalam minggu yang sama, viva-voce dalam bulan yang sama, menghantar tesis, mendapat kelulusan senat dan bergraduasi pada hari yang sama. Perjalanan warna warni ini dapat disempurnakan dalam tempoh 33 bulan,” ujar Dr Suhailizan di akhir wawancara.

Dr Suhailizan kini menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor sementara Dr Shahrizan Sahid pula memegang jawatan sebagai Timbalan Pengurus Besar II di agensi yang sama. Manakala Dr Amirul Haffiz pula menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor.

Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman (tengah) di samping dua rakannya, Dr Amirul Haffiz Ariff dan juga Dr Mohd Shahrizan Sahid dalam sidang media selepas sesi pengurniaan ijazah masing-masing di MKUTM ke-66

Explore More