April 28, 2024

Search
Close this search box.

Bekas Pelumba Berbasikal Trek Negara Bijak Bahagi Masa, Kunci Kejayaan Raih Ijazah Impian

Oleh Amirul Irfan Shahrul Izar 

JOHOR BAHRU, 23 Nov. – Setiap mahasiswa pasti mempunyai minat tersendiri yang boleh disalurkan bagi mengimbangi tanggungjawab akademik dan juga kehidupan peribadi. Bagi Muhammad Shahmir Riduan, 22, graduan Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau memilih untuk bergiat secara aktif dalam sukan berbasikal trek, malah merupakan salah seorang atelt negara untuk sukan ini.

“Saya mula berkhidmat sebagai atlet basikal trek kebangsaan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) semasa berumur 16 tahun. Sebelum itu, saya merupakan atlet basikal negeri Terengganu selama tiga tahun. Pencapaian tertinggi saya pada ketika itu adalah memenangi kejohanan kebangsaan yang diadakan di velodrom Cheras,” katanya.

 

Muhammad Shahmir ketika ditemui oleh pemberita hari ini.

Anak sulung daripada empat orang adik beradik itu berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapa serta keluarga untuk terus berjaya dalam arena yang diceburinya. Malah, ibu bapanya juga menjelaskan bahawa tidak semua orang dapat memberi sepenuh komitmen kepada banyak perkara dalam satu masa.

Sudah semestinya, pengurusan masa yang cekap serta rapi merupakan senjata utama dalam mengimbangi urusan akademik dan sukan, apatah lagi apabila mewakili negara di peringkat antarabangsa. 

“Saya memerlukan komitmen yang tinggi dalam membahagikan masa. Pada sebelah pagi, saya akan ke kelas seperti biasa manakala pada jam 5.00 petang, saya akan menjalani latihan. Selain latihan endurance dan mileage di jalan raya, saya juga perlu membuat latihan sepenuh masa di trek Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada hujung minggu bagi mempersiapkan diri untuk perlumbaan akan datang.”

Berkat usaha dan kegigihan anak jati Kuala Linggi, Melaka itu, beliau bersama 3 orang lagi rakan sepasukan telah berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia dalam acara kejar mengejar berpasukan lelaki di kejohanan Asian Track Cycling Championship sekali gus mencatat rekod baharu kebangsaan bagi acara tersebut.

Tidak cukup dengan itu, beliau telah diberi peluang untuk menyertai kejohanan Junior World Track Cycling Championship yang mengambil tempat di Aigle, Switzerland.

Bertanya mengenai idolanya dalam arena basikal trek, jawab beliau, “sudah tentu Azizul Hasni Awang menjadi idola saya. Hal ini kerana, saya mengikuti jejak langkah beliau yang tidak menjadikan belajar sambil bersukan itu sebagai satu halangan untuk berjaya.”

Shahmir Riduan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan berhasrat untuk menjadi jurulatih negara selepas tamat pengajian.

Explore More