Oleh: Nurul Hazmira Hani Haznan
JOHOR BAHRU, 23 Nov. – Pasangan suami isteri memanjatkan rasa syukur mereka dekat Dewan Sultan Iskandar, UTM pada harini apabila masing masing berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselematan Komputer) setelah enam tahun menuntut di UTM sebagai pelajar separuh masa.
Fatimah Hassan, 32 dan Muhammad Hairul Nizam Nordin, 32 yang terlebih dahulu telah bersama menamatkan pengajian diploma di Politeknik Sultan Idris Shah dalam bidang pengaturcaraan komputer telah menempa bidang kerjaya masing masing dengan Fatimah bekerja sebagai pegawai IT pengurusan data di CIMB Bank, manakala suaminya berkhidmat sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat swasta.
Mengimbau kembali kenangan pahit manis yang dilalui sepnjang menuntut di UTM dalam mod separuh masa, pasangan sejoli ini mengakui pelbagai cabaran dan liku perlu dihadapi serta pelbagai pengorbanan perlu dilakukan dalam menggalas dua tugasan hakiki berbeza.
Fatimah mengulas, “Cabaran belajar sepenuh masa dengan bekerja sambil belajar sangat berbeza. Jika dahulu, kami boleh memberikan sepenuh tumpuan untuk belajar dan grad, tapi lain pula kisahnya apabila terpaksa menggalas dua tanggungjawab dalam satu masa.
Antara kekangan terbesar adalah pembahagian masa untuk diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan kerana kelas kami adalah pada setiap hari minggu, jadi sangat susah untuk kami melapangkan masa untuk sebarang aktiviti sosial. Tetapi, mujur kami dikurniakan rakan- rakan dan keluarga sangat memahami.”
Alang- alang berdakwat biarlah hitam, kata- kata yang menggambarkan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasangan graduan ini apabila mereka mengakui pernah terlintas di fikiran untuk menamatkan perjuangan dipertengahan jalan apabila ramai rakan seperjuangan yang membuat keputusan untuk berhenti walaupun hanya berbaki beberapa semester sahaja lagi.
“Apabila melihat rakan- rakan mengambil keputusan tersebut, sejujurnya kami jadi kurang bersemangat untuk menghabiskan pengajian lebih- lebih lagi apabila kami terpaksa menagguhkan pelajaran selama setahun atas tuntutan kerja tetapi syukur, kehadiran sokongan dan nasihat dari ahli keluarga yang sangat membina telah menjadi pemangkin kepada cita- cita kami untuk menggenggam segulung Ijazah.” ujar Hairul.
Pasangan ini yang pada mulanya bersama memulakan pengajian di UTM hanya sebagai pasangan kekasih, telah membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan telah bernikah ketika tahun keempat pengajian sekaligus menjadi kenangan terindah buat Fatimah dan Hairul apabila dapat meraikan kejayaan ini sebagai pasangan suami isteri.