November 24, 2024

Search
Close this search box.

“Ikut Resam Padi, Semakin Berisi, Semakin Menunduk”, Tuanku Canselor Zahir Pesan buat Graduan

Oleh Nur ‘Aina Osman

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – “Ikut resam padi, semakin berisi, semakin menunduk.” Begitulah pesanan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM, dalam titah ucapannya buat graduan sempena Majlis Konvokesyen ke-66 UTM pagi tadi di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Menurut Tuanku Canselor, para graduan merupakan lambang keberhasilan UTM dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dan holistik, sepertimana yang didambakan oleh Universiti. 

Justeru, sebagaimana pepatah ini, para graduan haruslah menjadi insan yang tawaduk dan tidak membangga diri dengan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang menuntut di sini. 

DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM berarak masuk ke Dewan Sultan Iskandar pada hari pertama Majlis Konvokesyen ke-66 (MK66).

Dalam titah ucapan baginda, “Saudara saudari harus meneruskan kualiti diri dengan menjadi insan yang tidak hanya berilmu dan berkemahiran tinggi, tetapi juga luhur budi pekerti.

“Amalkanlah pekerti mulia dan santunilah ahli-ahli masyarakat dengan akal budi yang tinggi, agar padanya kita disukai oleh Illahi.”

Selain itu, baginda turut menyeru para graduan agar berusaha keras untuk menjadi pekerja yang bukan sahaja mahir yang mampu membawa kemajuan kepada dunia pekerjaan dan sektor ekonomi bahkan berkeperibadian indah yang diidam-idamkan oleh para majikan di luar sana.

Hal ini dibuktikan apabila UTM memperoleh kadar kebolehpasaran graduannya yang tertinggi berbanding universiti awam yang di Malaysia, iaitu 97.9%, pada 2021. Kesohoran Universiti ini di peringkat global turut diakui apabila UTM diumumkan sebagai universiti di Malaysia dalam 2022−2023 Best Global Universities Ranking oleh U.S. News & World Report, baru-baru ini.

Sebahagian graduan yang menerima ijazah pada hari pertama Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66).

Dalam pada itu, Tuanku Canselor turut menyeru semua graduan UTM agar dapat membina jaringan alumni yang kukuh supaya dapat mencipta manfaat berimpak tinggi buat diri, keluarga dan universiti sebagai alma mater. 

“Saya juga meletakkan harapan agar saudara-saudari berperanan sebagai alumni UTM yang aktif selepas Majlis Konvokesyen ini,” titah Tuanku Canselor sebelum mengakhiri ucapannya.

Istiadat Majlis Konvokesyen UTM kali ini membuka tirai hari ini dengan Sesi Penganugerahan ke-4 dan ke-5 berikutan pindaan tarikh konvokesyen akibat pertembungan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November yang lalu. 

Explore More