November 26, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Nurul Hazmira Hani Haznan 

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Pasangan adik beradik dari Bumi Kenyalang ini melakarkan detik terindah apabila dapat berkongsi pentas graduasi yang sama, pada Majlis Konvokesyen ke-66 UTM (MK66). 

Nur Emylinda Yunos, 23 berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Data) manakala kakaknya, Nur Emylydia Yunos, 26 telah meraih Ijazah Sarjana  Sains (Keselamatan Kesihatan dan Persekitaran).

Nur Emylydia Yunos (kiri) dan Nur Emylinda Yunos (kanan) merakam detik istimewa bersama ibu bapa mereka.

Nur Emylinda, menzahirkan detik ini merupakan sejarah terindah dan keriangan berganda buat mereka sekeluarga apabila mereka berdua  dapat berkongsi kegembiraan yang sama dengan seorang lagi kakaknya, Emyliana yang turut bergraduasi bagi program Ijazah Sarjana di Universiti Malaysia Sarawak.

Anak kelahiran negeri Sarawak ini juga mengakui kesungguhan yang ditunjukkan oleh kedua orang kakaknya dalam melanjutkan pelajaran telah menjadi inspirasi buat diri beliau untuk mengikuti jejak langkah mereka pada suatu hari nanti.

“Sejujurnya dari kecil, kami memang suka bersaing secara sihat, terutamanya dari segi pelajaran. Tambahan pula, kedua ibu- bapa kami sangat mementingkan dan menggalakkan kami untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu selagi berkemampuan kerana dengan ilmu, ia boleh mengubah cara pemikiran seseorang. 

Manakala bagi Nur Emylydia pula, beliau bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian Ijazah Sarjana walaupun sedikit terganggu akibat pandemik yang melanda. Berkat hasil dirinya yang kekal optimis ditambah dengan kehadiran adik- beradik lain yang turut melalui cabaran yang sama telah sedikit sebanyak membantu mereka untuk bersama menghabiskan perjuangan yang telah dimulakan.

Menariknya, keluarga ini turut menyifatkan UTM sebagai rumah kedua mereka dek kerana tiga daripada lima orang adik beradik ini merupakan penuntut di UTM. Legasi Emylinda dan Emylydia yang kini telah bergelar alumni telah diteruskan oleh adik mereka Emylissa, yang merupakan penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan hartanah.

Rakaman temubual Nur Emylinda Yunos dan Nur Emylydia Yunos, yang dibawakan oleh UTM Library TV.

Explore More