November 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM Raih 10 Emas, 10 Perak Sempena PECIPTA’22

Oleh Nur ‘Aina Osman

KOTA BHARU, 4 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar kejayaan manis apabila meraih 10 emas dan 10 perak dalam kategori Ciptaan sempena Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah bagi International Conference and Exposition on Inventions by Institution of Higher Learning (PECIPTA) yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berakhir semalam.

Barisan penyelidik UTM yang berjaya meraih hadiah kemenangan sempena PECIPTA’22 bergambar kenangan bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias.

Acara yang diadakan selama tiga hari ini bermula 1−3 November 2022, menyaksikan seramai 10 orang penyelidik UTM dengan pelbagai kepakaran memenangi pingat emas melalui penyelidikan masing-masing, antaranya, Prof. Ir. Dr. Nor Aishah Saidina Amin, Prof. Dr. Mohd Azizi Che Yunus, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain, Prof. Madya Sr. Dr. Ami Hassan Md Din, Prof. Madya Dr. Norhaniza Yusof, Dr. Noor Asmawati Samsuri, Dr. Nurul Aini Bani, dan Dr. Rudzidatul Akmam Dziyauddin.

Sebahagian penyelidik UTM yang meraih pingat emas.

Sementara itu, lapan penyelidik UTM turut memenangi pingat perak yang dua daripadanya turut merupakan pemenang pingat emas bagi hasil penyelidikan yang dipertandingkan, iaitu Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek; 1 emas, 1 perak, dan Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; 1 emas, 2 perak.

PECIPTA’22 merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malayisa dengan kerjasama institusi-institusi pengajian yang menyaksikan UMK sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ini.

Bertemakan “Innovation, Creativity, Technology, Entrepreneurship and Society”, penganjuran PECIPTA’2022 berhasrat untuk mempertingkat jaringan hubungan dan kerjasama antara peserta yang juga penyelidik, pemain industri dan pihak agensi yang terlibat dalam memastikan teknologi yang dibangunkan bukan sahaja dapat dikembangkan dan dipelbagaikan malah dapat dipindahkan kepada kelompok industri dan juga komuniti secara amnya.

Dalam pada itu, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain, seorang lagi penyelidik UTM turut dinobatkan sebagai Naib Juara dalam kategori MyTechPitch yang membawa pulang hadiah wang tunai RM 500.00. UTM turut dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dan ketiga bagi kategori Cabaran Kajian Kes Keusahawanan Perniagaan.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain dan rakan sepasukan yang dinobatkan sebagai Naib Juara kategori MyTechPitch.

 

Gambar ihsan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM

Explore More