April 28, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 10 Sept. – Kolej Datin Seri Endon, Universiti Teknologi Malaysia telah menganjurkan program Semarak Merdeka KDSE: venturing into Kampung Orang Asli Pasir Salam di Ulu Tiram, Johor. Program ini telah dilaksanakan pada 9 dan 10 September 2022 yang lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2022. Matlamat pengajuran program ini adalah untuk memupuk semangat cintakan negara dan ekspresi kemerdekaan bersempena meraikan Hari Kebangsaan Malaysia 2022.

Nyanyian lagu Jalur Gemilang

KDSE telah meraikan hari bersejarah bagi Malaysia ini bersama orang asli Kampung Pasir Salam. Aktiviti sukan rakyat yang dijalankan adalah bertemakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Istimewa dalam program ini, selain kampung orang asli Pasir Salam, beberapa buah kampung orang asli Seletar di sekitar Johor turut hadir bersama bagi menyertai aktiviti yang dipertandingkan dan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan.

Pengetua KDSE (Dr. Nabilah Binti Kasim) bersama penari tarian ketam

Program yang julung kali diadakan ini turut mendapat sambutan positif dari pelbagai pihak, terutamanya kerjasama daripada pusat tanggungjawab universiti yang lain seperti Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Perpustakaan Sultanah Zanariah dan Kolej Dato Onn Jaafar, Universiti Teknologi Malaysia.

Malah, program ini mendapat sokongan dari agensi luar, antaranya pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa pengusaha di sekitar perkampungan tersebut, seperti Green Valley Eco Resorts, Kampung Salam Rakit (KSR), Persatuan Kebajikan Pelangi, pihak syarikat swasta dan persendirian. Penajaan juga diperoleh dalam bentuk hadiah, barangan, makanan, wang tunai, dan lain-lain dengan anggaran mencecah hampir RM30 ribu ringgit.

Program bermula pada 9 September 2022 dengan gotong royong sekitar kawasan Kampung Pasir Salam, pembersihan surau dan penyediaan tempat akvititi. Untuk yang beragama islam, telah diadakan solat berjemaah dan tazkirah ringkas Kemerdekaan yang dipimpin oleh Kadi Daerah Johor Bahru, YBrs. As Syeikh Haji Suhaimi bin Rebu.

Sementara itu, Majlis perasmian program telah berlangsung pada 10hb September 2022 dan dirasmikan oleh Pengetua Kolej Datin Seri Endon, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Nabilah binti Kasim. Turut hadir semasa majlis perasmian adalah Penghulu Sungai Tiram, Tuan Mohd Afiff bin Mohd Adzhar, Timbalan Pustakawan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Ketua Kampung perkampungan orang asli dan penaja-penaja program.

Gimik perasmian program adalah melalui acara tarik tali antara pihak universiti yang diwakili oleh staf-staf universiti dan komuniti orang asli Kampung Pasir Salam.

Kehadiran orang ramai dianggar seramai 350 orang iaitu dari perkampungan orang asli sendiri, pihak Universiti Teknologi Malaysia, tetamu jemputan dan pengusaha sekitar kampung tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan adalah merupakan sukan rakyat bagi penduduk kampung orang asli Seletar seperti tarik tali, Ikat ketam, tarik tali dalam sampan, tarik tali dalam dongkah, boling kelapa dan beberapa aktivti lain.

Selain sukaneka, aktiviti program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut diperkenalkan dan dilaksanakan untuk anak-anak berusia 4 tahun sehingga 18 tahun. Lebih menarik, penduduk kampung telah menganjurkan malam kebudayaan bagi memperkenalkan tarian serta budaya orang asli Seletar sebagai penutup kepada program venturing into kampung orang asli pasir salam.

Antara peserta pertandingan mewarna
Acara susun suai gambar bendera Malaysia
Aktiviti STEM bersama kanak-kanak orang asli seletar

Program ini berjaya untuk menggalakan pelajar yang terlibat untuk menonjolkan kemahiran terpendam mereka, memupuk warga UTM yang inklusif, penyayang, menyokong dan mempromosikan sukarelawan dalam khidmat masyarakat. Penglibatan dalam program mampu memupuk rasa cinta akan tanah air dan semangat patriotisme, serta mengeratkan perpaduan keluarga Malaysia.

Pihak Kolej Datin Seri Endon ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas seluruh usaha dan tenaga banyak pihak bagi menjayakan program yang julung-julung kalinya diadakan di perkampungan orang asli, terutamanya ahli jawatankuasa UTM dan Kampung Pasir Salam yang berhempas pulas, siang dan malam bagi menjayakan program ini.

Menurut Tok Batin Kampung Pasir Salam: “Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program sekaligus mengelolakan aktiviti di kampung kami. Kami amat gembira sepanjang bekerjasama dengan pihak universiti. Semoga dengan perlaksanaan program ini, hubungan berterusan antara pihak universiti dengan kampung dapat diteruskan”

Nyanyian lagu patriotik Malaysia

 

Berkenaan Kolej Datin Seri Endon, Universiti Teknologi Malaysia:

Facebook: https://www.facebook.com/KolejDatinSeriEndonUTM

Instagram: https://instagram.com/utm.kdse?igshid=YmMyMTA2M2Y=

Video program: https://fb.watch/gEkLSMHnjw/

 

 

Explore More