April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menerima sumbangan wang fidyah dan peruntukan dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi pembelian dua buah mesin hemodialisis bagi kegunaan pelajar dan staf di Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Majlis penyerahan itu telah berlangsung di Dewan Senat, kampus Johor Bahru dengan penyerahan disempurnakan oleh Penasihat MAINJ, Yang Berhormat Dato’ (Dr) Noh Gadot kepada YBrs Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Hj Ahmad.

Dr Mohd Hamdan di dalam kenyataannya menyatakan sumbangan wang fidyah berjumlah RM20,000.00 ini akan digunakan oleh Unit Dana Wakaf Pendidikan UTM untuk melaksanakan pemberian makanan percuma (Free Food) kepada pelajar yang memerlukan.“Inisiatif makanan percuma ini telah mula dilaksanakan sejaka tahun 2017 dan seramai 1,161 orang mahasiswa telah mendapat manfaat dari program ini.

“Sementara itu sumbangan peruntukan sebanyak RM85,262.00 pula akan digunakan bagi membuat perolehan dua unit mesin hemodialisis yang akan ditempatkan di PKUTM bagi kegunaan staf, mahasiswa dan juga orang awam dengan dikenakan sedikit bayaran dengan caj minimum,” katanya.

Pada majlis yang sama juga, seramai 21 orang mahasiswa B40 telah menerima sumbangan hasil manfaat wakaf dimana setiap pelajar menerima bantuan wang tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM200.00 seorang.
MAINJ juga telah memberi sumbangan berbentuk bantuan pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM1,000.00 seorang kepada dua orang pelajar dan seramai 17 orang mahasiswa telah menerima bantuan peranti pembelajaran bagi membantu meringan bebanan kewangan mereka dalam semester pengajian semasa.

Turut hadir dalam majlis adalah Bendahari UTM, Tn. Hj. Abu Bakar Mohd Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tn. Hj. Ismail Abu dan juga Pengarah Unit Dana Wakaf Pendidikan UTM, Prof. Madya Dr Ahmad Che Yaacob.

Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof. Dr. Hamdan Ahmad (dua kanan) menerima replika cek sumbangan MAINJ dari Penasihat badan itu, Dato’ Noh Gadot dalam majlis yang berlangsung di Dewan Senat, kampus Johor Bahru.

Explore More