November 25, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 18 Okt. – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail mengingatkan warga UTM sama ada staf akademik, staf bukan akademik, pelajar mahupun alumni untuk menunjukkan komitmen jitu dan padu bagi memperhebat kesohoran UTM di peringkat global.

Prof. Datuk Ahmad Fauzi ketika berucap sempena Majlis Bersama Naib Canselor pagi tadi.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan dua universiti awam untuk berada dalam kedudukan 100 terbaik QS World University Ranking, sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Jika UTM berhasrat untuk berada pada kedudukan tersebut, kita semua perlu bekerja dengan lebih keras lagi.

“Dalam aspek jalinan kerjasama global praktikal, UTM dilihat mempunyai rakan kerjasama di hampir setiap benua. Namun, masih ada potensi untuk meneroka jalinan kerjasama bersama institusi-institusi pendidikan, terutamanya di Afrika dan Amerika Selatan.

“Inisiatif-inisiatif seperti makmal satelit, geran padanan (matching grant), kerjasama penyelidikan dan penerbitan sebagaimana yang telah dilaksanakan menerusi VC- Asia Tour baru-baru ini mampu memacu jenama UTM untuk lebih menonjol di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Prof. Ahmad Fauzi mengingatkan staf akademik untuk meningkatkan kualiti pengajaran dąn penyelidikan, yang mana elemen tersebut menyumbang kepada 40 peratus markah bagi kriteria reputasi akademik untuk QS World University Ranking.

“Kita perlu meningkatkan reputasi akademik dalam usaha untuk meletakkan UTM sebaris dengan universiti-universiti seperti Nanyang Technological University (NTU) dan Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST).

“Sudah tiba masanya penyelidik-penyelidik UTM mempergiat lagi jalinan kerjasama penyelidikan dan penerbitan bersama penyelidik dan pakar rujuk dari institusi-institusi yang bereputasi tinggi, sekali gus mampu meningkatkan reputasi akademik yang rata-ratanya masih dinilai berdasarkan impak sitasi dan prestij jurnal,” tegas beliau.

Sementara itu, Prof. Ahmad Fauzi sempat menarik perhatian staf akademik yang hadir untuk meneliti dan mengambil peluang senario global semasa.

“Saya melihat penyelidikan dan inovasi bertunjangkan keselamatan makanan (food security) akan menjadi tumpuan. Saya seru untuk semua akademia di UTM agar mengambil kesempatan ini dan sumbangkanlah kepakaran tuan-tuan dan puan-puan demi merintis penyelesaian krisis makanan sejagat.

Sebahagian warga UTM yang hadir mendengar taklimat daripada Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

Prof. Ahmad Fauzi menyampaikan amanat beliau di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru bersempena Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) edisi Oktober 2022. Program yang berlangsung di UTM Johor Bahru ini turut disiarkan secara langsung untuk sama-sama diikuti oleh warga UTM Kuala Lumpur dan UTM Pagoh.

Barisan pengurusan tertinggi UTM yang sama-sama menghadiri MBNC di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Hadir sama dalam program ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali dan Pendaftar UTM, Pn. Nor Azizah Ismail bersama-sama 1400 staf UTM dari ketiga-tiga kampus.

Explore More