April 28, 2024

Search
Close this search box.

Program Denai Sungai Komuniti 2022: Inisiatif Lestari UTM dalam Usaha Pemeliharaan Sungai di Kampung Sungai Melayu

JOHOR BAHRU, 24 Sept. – Program Denai Sungai bersama Komuniti 2022 (DSKom2022) merupakan program berimpak tinggi bagi memperkenalkan sebuah perkampungan warisan di negeri Johor yang terletak berhampiran pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor di Kota Iskandar. Program ini diharap dapat membuka mata dunia sebagai salah satu destinasi ekopelancongan dengan penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan kepentingan menjaga keindahan denai sungai, taman hidupan air, flora dan fauna.

Program ini melibatkan aktiviti-aktiviti riadah dalam masa yang sama untuk meningkatkan kesedaran dalam menghayati alam semula jadi, pendidikan tentang sungai melalui modul denai sungai, pemeriksaan kesihatan, pameran dan gotong royong di darat dan di sepanjang sungai Kampung Sungai Melayu.

Program DSKom2022 telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, iaitu Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji. Ahmad. Turut serta dalam majlis perasmian ialah YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Yang Berhormat Datuk Haji Pandak bin Ahmad, ADUN Kota Iskandar, Negeri Johor bersama pegawai-pegawai kanan Universiti.

Program DSKom2022 merupakan gagasan daripada perancangan jangka panjang Denai Sungai Kebangsaan (DSK), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bersama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Yayasan JCorp, SWCorp dan Jabatan Penerangan Malaysia yang perihatin dalam menangani isu-isu pencemaran sungai serta pemantauan.

Bersempena dengan Hari Air Sedunia pada 25 September setiap tahun, program DSKom2022 dapat memberi sumbangan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang telah mempelopori beberapa program utama bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2020 (HASN) yang bertemakan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’. Salah satu daripadanya adalah Program Denai Sungai bersama Komuniti 2022.

Faktor utama DSKom2022 dilaksanakan adalah untuk mewujudkan sosio ekonomi kepada masyarakat setempat khususnya komuniti yang berada di sepanjang sungai. Bagi mewujudkan sosio ekonomi yang berkesan dan lestari, ekopelancongan merupakan cabang utama yang perlu diketengahkan. Ekopelancongan adalah sub-komponen bidang pelancongan lestari.

Potensi ekopelancongan yang dianggap sebagai alat yang berkesan untuk pembangunan lestari adalah penyebab utama mengapa negara-negara membangun sekarang gigih berusaha dan memasukkannya dalam strategi pembangunan ekonomi dan pemuliharaan. Ekopelancongan sebagai pelancongan alternatif, melibatkan kunjungan ke kawasan alam semulajadi untuk mempelajari, atau menjalankan kegiatan mesra dalam lingkungan, iaitu pelancongan berdasarkan flora, fauna dan alam yang memungkinkan pengembangan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Ekopelancongan sangat membantu dalam pembangunan masyarakat dengan menyediakan sumber sara hidup alternatif kepada masyarakat setempat yang lebih lestari. Tujuannya adalah untuk memulihara sumber, terutama kepelbagaian biologi dan mengekalkan penggunaan sumber, yang membawa pengalaman ekologi kepada pelancong, memulihara ekologi alam sekitar dan memperoleh faedah ekonomi. Walau bagaimanapun, untuk mencapai matlamat dalam ekopelancongan bergantung kepada alam yang mampan dari segi ekologi dan terpakai dari segi ekonomi.

Program ini dijalankan bersempena dengan Hari Sungai Sedunia 2022 yang disambut serentak seluruh dunia. Antara aktiviti dijalankan adalah seperti gotong royong membersihkan kampung merangkumi kawasan darat dan air, pemeriksaan asas kesihatan dan pemeriksaan gigi secara percuma dari Pusat Kesihatan UTM. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan semasa gotong royong yang melibatkan penggunaan bot bagi mengutip sampah sepanjang Sungai Melayu.

Kemuncak program ialah pameran dan taklimat yang melibatkan enam Modul Prihatin Denai Sungai Malaysia. Kesemua modul ditulis oleh penyelidik UTM, yang dibangunkan khas bersempena dengan program denai sungai ini. Antara tajuk modul ialah Asas Teknologi Simenfero, Pengukuran Kualiti Air bersama Komuniti Sekitar Denai Sungai, Tanah Bencah Terapung bagi Pemuliharaan Air Sungai, Teknik Tanaman dan Pengkomposan Lestari, Kepelbagaian Mikroalga sebagai Bioindikator Kualiti Air Sungai, dan Biodiversiti Riparian Sungai.

Sambutan memberangsangkan daripada peserta yang mengikuti program buat julung kalinya dianjurkan oleh Pejabat Pelestarian Kampus UTM selaku penganjur utama dan UNESCO-IHP MALAYSIA selaku pengajur bersama berjaya menarik peserta seramai 240 orang. Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari sekolah rendah sehingga peringkat universiti. Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Rendah Kg. Sg. Melayu dan Sekolah Men. Keb. Medini. Tidak ketinggalan ialah dari Institut Pendidikan Guru dan juga pelajar UTM.

Selaku Naib Canselor, beliau akan memastikan supaya UTM terus komited untuk mengangkat agenda Denai Sungai Bersama Komuniti, berlandaskan praktis Environmental, Social and Governance (ESG), seiring dengan aspirasi kebangsaan.

Dalam usaha memperkasa agenda Denai Sungai Kebangsaan yang menyasarkan pembinaan 10,000 kilometer denai di seluruh negara menjelang tahun 2030 dilaksanakan bagi menangani cabaran sosioalam sekitar menerusi pengurusan dan penggunaan alam secara lestari, demi memelihara dan memulihara keindahan sungai, sekali gus mengawal daripada risiko aktiviti pencemaran serta menyediakan pelan sokongan kepada komuniti sungai.

Terdapat beberapa jenis denai sungai yang boleh dibangunkan sebagai pencetus impak segera terutamanya memastikan program pengawasan, kesedaran dan penglibatan pemegang taruh menjadi lebih proaktif. Konsep denai sungai ini secara langsung akan mewujudkan persekitaran mesra alam sekitar seperti yang terdapat di negara-negara maju, antaranya di Kyoto, Seoul, Singapura, Perth, Cambridge, Oxford, Boston dan banyak lagi.

Misi program ini berhasrat untuk mengembalikan hak milik sungai kepada masyarakat setempat sebagai bahagian dari Program Pemuliharaan, Perlindungan & Pemulihan sungai di Kampung Sungai Melayu. Ini untuk membantu PBT memantau sungai, terutama sungai yang dikategorikan sebagai sumber air untuk kehidupan, habitat hidupan liar, hutan simpan, tempat rekreasi dan tarikan pelancong. Ia akan menyediakan aktiviti pembangunan masyarakat, rekreasi dan ekonomi untuk masyarakat setempat.

Selain itu, antara visi Denai Sungai bersama Komuniti 2022 adalah untuk membenarkan akses dan penglibatan secara aktif daripada komuniti sungai untuk terlibat dalam program kesedaran, perancangan dan penambahbaikan menjelang tahun 2030.

Ketibaan YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji. Ahmad bersama YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), disambut oleh YB Datuk Haji Pandak bin Ahmad, ADUN Kota Iskandar, Negeri Johor

Kata aluan dari YB  Datuk Haji Pandak bin Haji Ahmad ADUN Kota Iskandar serta Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Program DSKom2022 dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz Bin Haji. Ahmad Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri

Pameran Modul Prihatin Denai Sungai Malaysia terdiri dari Modul Asas Teknologi Simenfero, Pengukuran Kualiti Air bersama Komuniti Sekitar Denai Sungai, Tanah Bencah Terapung bagi Pemuliharaan Air Sungai, Teknik Tanaman dan Pengkomposan Lestari, Kepelbagaian Mikroalga sebagai Bioindikator Kualiti Air Sungai, dan Biodiversiti Riparian Sungai.

Datuk NC, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail ceria menaiki bot bersama VIP

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Bin Haji Ahmad dan YB Datuk Haji Pandak menaiki bot melawat kawasan sekitar Sungai Melayu

Melewati pokok-pokok bakau sepanjang Sungai Melayu

Sukarelawan yang terdiri dari pelajar UTM, staf UTM, Institut Pendidikan Guru serta Sekolah Men. Keb. Medini

Program ini telah mendapat tajaan dari Starbucks yang menaja minuman secara percuma sepanjang program berlangsung kepada semua peserta yang hadir. Tidak lupa juga kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang banyak membantu dalam menjayakan program ini.

Set kerusi meja simenfero yang dihasilkan oleh staf UTM disumbangkan kepada komuniti Kampung Sungai Melayu

 

Untuk keterangan lanjut sila hubungi;

Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip

Timbalan Pengarah Pelestarian Kampus

Universiti Teknologi Malaysia

Tel: 011-32085900

Email: shamsuls.kl@utm.my

Explore More