April 28, 2024

Search
Close this search box.

SURABAYA, 8 September  – Pemerkasaan hubungan bersama alumni antarabangsa merupakan salah satu agenda utama UTM di bawah pelan strategik enVision UTM 2025. Sehingga kini, UTM telah melahirkan sekitar 1500 orang alumni dari Indonesia dan bersempena dengan siri jelajah program “UTM VC ASIA Tour 2.0@Indonesia” seramai 20 orang alumni diraikan dalam suatu majlis makan malam yang buat julung kalinya dianjurkan hari ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya menyatakan penghargaan serta menyeru agar semua alumni dapat memainkan peranan yang signifikan dalam membangunkan sosio-ekonomi menerusi ilmu yang ditimba di UTM.

Ucapan daripada wakil alumni yang hadir telah disampaikan oleh Prof. Dr. Hadi Nur, mantan Profesor di UTM serta alumni UTM yang kini berkhidmat di Universitas Negeri Malang (UM). Inti pati ucapan beliau menyeru UTM dan semua alumni yang kini berkhidmat sebagai pensyarah dapat memperkasakan hubungan “informal” agar dapat sama-sama memajukan UTM dalam dunia akademia. Tambah Prof. Hadi, “Hubungan antara UTM dan alumni Indonesia dapat dilihat sebagai hubungan adik-beradik, ini kerana kita semuanya di bawah satu rumpun.”

Antara pengisian majlis makan malam ini adalah untuk memperkenalkan “Global Alumni Endowment Fund” yang diwujudkan khusus untuk pelajar warga Indonesia yang memerlukan bantuan. Menurut Pengarah UTM Alumni, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam Rasidi, matlamat utama pewujudan tabung ini berperanan sebagai platform untuk menjaga kebajikan pelajar dan memberikan peluang kepada alumni untuk menyumbang kepada pelajar Indonesia di UTM.

Para alumni juga turut mengimbau kenangan sepanjang bergelar pelajar di UTM dalam majlis yang diadakan secara santai tetapi penuh bermakna.

Delegasi UTM dan alumni yang hadir mengharapkan agar silaturrahim dapat terus diperkukuhkan menerusi pelbagai inisiatif bersama seiring dengan moto “Kerana Tuhan untuk Manusia”.

Prof. Datuk Fauzi bergambar kenangan bersama alumni yang hadir pada majlis berkenaan.
Prof. Datuk Fauzi menyampaikan cenderamata kepada wakil alumni UTM, Prof. Dr. Hadi Nur sebagai tanda kenangan.
Prof. Datuk Fauzi ketika berucap pada majlis makan malam meraikan alumni UTM di Malang, Indonesia.
Prof. Dr. Hadi Nur, selaku wakil alumni UTM yang berucap pada malam itu.

 

Explore More