April 27, 2024

Search
Close this search box.

Dua Guru Pelatih Terima Anugerah sempena Majlis Apresiasi Latihan Mengajar 2021/2022

SENAI, 17 Ogos – Majlis Apresiasi Latihan Mengajar Semester 2, sesi 2021/2022 akan menjadi satu kenangan yang akan kekal terpahat dalam memori dua rakan sekelas, yang juga merupakan guru pelatih apabila kedua-duanya berjaya membawa pulang anugerah dalam kategori tersendiri.

Encik Muhamad Syafiq Izwan bin Muhamed Yani menerima Anugerah Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) Terbaik sepanjang menjalani sesi latihan mengajarnya di Kolej Vokasional Port Dickson, Negeri Sembilan di bawah bimbingan PM Dr. Mohd Zolkifli bin Abdul Hamid dan Encik Mohd Asrul Radzy bin Abd Rahman.

Berasal dari Perak dan berusia 25 tahun, guru pelatih ini sekarang bertugas sebagai seorang guru ganti di SMK Seri Manjung, tempat kelahirannya. Ditanya jika guru muda ini ada mengalami masalah dalam menghadapi perbezaan antara pelajar diploma di kolej vokasional dan pelajar sekolah menengah, beliau tidak menghadapi sebarang masalah terhadap perbezaan tersebut.

“Saya rasa mereka semua sama sahaja. Perbezaaan umur mereka jugak tidak jauh, masih lagi remaja menjadikan mereka mempunyai mentaliti yang lebih kurang sama.”

“Cumanya mungkin bagi pelajar diploma, mereka lebih mengetahui dan cepat faham sekiranya mereka melakukan sebarang kesilapan sewaktu pembelajaran. Manakala pelajar sekolah menengah perlu berulang-ulang kali diberi amaran mengenai kesilapan mereka.”

Ketika ditanya sekiranya beliau risau mengenai penempatannya dalam masa terdekat ini, beliau menjawab, “saya tidak kisah pun ditempatkan di mana-mana kerana niat saya adalah untuk mengajar.”

Seorang lagi rakan sekelasnya, Cik Nor Farah Nadhirah binti Shamsul Anuar yang ditempatkan di Kolej Vokasional Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan menerima Anugerah Rancangan Pengajaran Terbaik semasa sesi latihan mengajarnya. Beliau yang sering dipanggil ‘Cikgu Farah’ di sekolahnya, sering membuat pelbagai aktiviti yang menarik bagi penarik perhatian pelajar-pelajarnya untuk menikmati kegembiraan sewaktu belajar.

“Cara saya mengawal kelas yang majoritinya adalah pelajar lelaki ialah dengan melakukan pelbagai aktiviti. Kebanyakkan daripada mereka kurang memberikan perhatian sekiranya waktu pembelajaran hanya fokus terhadap teori sahaja.”

“Aktiviti yang saya lakukan cuma yang mudah-mudah seperti teka silang kata. Dengan meletakkan ganjaran, mereka lebih bersemangat untuk mengambil bahagian.”

Berasal dari Klang, Selangor, guru pelatih ini memberikan respon yang agak unik dimana beliau sedia sekiranya ditempatkan di Sabah atau Sarawak.

“Saya ingin mendapatkan lebih pengalaman. Ramai cikgu-cikgu di sana berkata banyak pengalaman dapat dirasai yang mungkin tiada di Semenanjung Malaysia.”

Syabas dan tahniah buat kedua-dua guru pelatih yang telah melaksanakan tugas mereka dengan baik sehingga menggondol anugerah. Semoga dengan penghargaan yang diberikan, dapat menaikkan lagi semangat mereka berdua untuk menjadi pendidik yang cemerlang.

Gambar Oleh: Adrian Efendy Kassim

Explore More