November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Ogos. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bagi memulakan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan yang tertumpu kepada inovasi berlandaskan data.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail mewakili universiti ini sementara DOSM diwakili oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Prof. Fauzi berkata DOSM adalah agensi awam yang bertanggungjawap dalam mengumpul dan menghasilkan perangkaan rasmi berkaitan ekonomi dan sosial di peringkat negeri dan juga nasional.

“Hubungan strategik ini akan memberikan impak yang besar kepada UTM dan DOSM, terutamanya dalam bidang berkaitan sains data serta pembangunan teknik statistik termaju supaya keputusan yang lebih baik berkenaan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dapat dibuat.

“MoU ini terhasil daripada hubungan erat yang sedia terjalin di antara kakitangan di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM dan DOSM melalui penyelidikan yang melibatkan statistik kematian dan juga penyeliaan pelajar-pelajar kedoktoran,” katanya lagi.

Prof. Fauzi berkata demikian sewaktu manyampaikan ucapan aluannya di majlis menandatangani MoU ini yang turut dihadiri Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. ChM. Dr. Zaiton Abdul Majid dan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial & Pembangunan Teknikal) DOSM, Hjh. Nazaria Baharudin.

Menurutnya lagi, dokumen MoU ini berfungsi sebagai plaftorm bagi jalinan kerjasama yang lebih erat di antara kedua organisasi di samping berfungsi sebagai mekanisme pengukuran misi UTM untuk memberikan impak jangka panjang kepada negara dapat dicapai.

Skop MoU ini meliputi pembangunan kapasiti melalui program latihan profesional, latihan amali, perkongsian sumber dan kepakaran serta penganjuran aktiviti bersama, khususnya dalam bidang statistik serta aktiviti-aktiviti berkaitan penyelidikan.

.UTM juga mengumumkan pelantikan Dato’ Sri. Dr. Mohd Uzir Mahidin sebagai Prof. Adjung berkuat kuasa pada 3 Ogos 2022 hingga 2 Ogos 2023 .

Perlantikan ini dibuat berdasarkan pengalaman Ketua Perangkawan Malaysia ini yang  terlibat dalam banyak kumpulan pakar dan persatuan yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Dengan pengalaman luas dan kepakaran beliau dalam pengetahuan statistik dan data, pelantikan Dato’ Sri. Mohd Uzir Mahidin akan menjadi sebahagian daripada usaha ke arah mencapai petunjuk utama di dalam pelan strategik UTM enVision 2025.

Dari kiri, Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial & Pembangunan Teknikal) DOSM, Hjh. Nazaria Baharudin, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. ChM. Dr. Zaiton Abdul Majid menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani antara UTM dengan DOSM.

Explore More