April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menganjurkan Majlis Citra Karisma 2022 bagi meraikan kecemerlangan staf untuk tahun 2021 selepas kali terakhir ianya diadakan secara fizikal pada tahun 2020.

Majlis Citra Karisma adalah majlis tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar bagi menghargai staf UTM dan Pusat Tanggungjawab yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang sepanjang perkhidmatan bagi tahun penilaian semasa.

Selain itu, majlis ini turut meraikan individu dan kumpulan staf di dalam beberapa kategori anugerah menerusi sumbangan penyelidikan, perundingan, pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain bidang.

Dalam ucapan alu-aluan, Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail berkata UTM semenjak 2022 telah diperkemas tadbir urusnya dengan segala  urusan pengambilan, perkhidmatan dan kenaikan pangkat staf diletakkan di bawah Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.

“Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) pula menguruskan aspek pembangunan kepimpinan dan pembangunan kolam bakat (talent pool) UTM.

“Sebagaimana kita sedia maklum, UTM telah melaksanakan Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) secara beransur-ansur mulai tahun 2021 sehingga kini. Kamus Kompetensi UTM juga telah dibangunkan bersama dan dilancarkan pada Mei yang lalu,” katanya lagi.

“Dengan pengurusan bakat yang berpaksikan kepada kompetensi, saya yakin ia dapat memastikan keupayaan staf dalam melonjakkan kecemerlangan Universiti,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian di Majlis Citra Karisma 2022 yang turut dihadiri oleh Pro-Canselor UTM, YBhg.Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), YBrs. Prof. Ts Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Sebanyak 23 anugerah termasuk Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC) telah disampaikan kepada 602 orang penerima iaitu staf UTM daripada pelbagai cabang perkhidmatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2021.

Manakala,  Projek Sistem Solar PV Terasing bagi Projek Kampung Orang Asli Tewowoh & Kampung Tanjung Surat kendalian Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencatat sejarah unik apabila dinobat sebagai pemenang Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC). Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), YBhg Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Haji Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBrs. Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBrs. Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan juga Pendaftar UTM, YBrs Nor Azizah Ismail.

Pemenang AINC dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan bergambar kenangan bersama Pro-Canselor, Tan Sri Dr Salleh Md Nor (dua kiri) dan Pendaftar UTM, Nur Azizah Ismail (paling kiri) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru semalam.

Explore More