JOHOR BAHRU, 4 Jun – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak (JKM KTR) telah menganjurkan Fiesta Gegar Kolej Tun Razak 2022 (FIGURA ‘22) pada 21 Mei hingga 4 Jun 2022 yang lalu. Program di bawah pimpinan Saudara Ahgilan A/L Govalakrishnan bersama 63 orang krew ini bertujuan membuka peluang kepada warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM), khususnya dari KTR untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti bercorak keusahawanan, kepimpinan, kebudayaan, sukan dan rekreasi sekali gus menjadi platform untuk menghasilkan bakat holistik bertaraf dunia, selari dengan teras strategik pertama enVision UTM 2025.
Penganjuran FIGURA ’22 juga secara tidak langsung menjadi satu bentuk promosi identiti KTR kepada warga UTM. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang FIGURA ’22 adalah seperti jualan Food X Coffee Truck Fest, Virtual Run: Anime World, zumba, Arcade Arena, Escape Room, Kursus Pengurusan Jenazah, Razak Got Talent, Haunted House, Enggang Games, bengkel SolidWorks dan Open Mic.
Kemuncak FIGURA ’22 adalah penganjuran aktiviti Razak Got Talent, yang mana ia merupakan sebuah platform bagi warga UTM khususnya dari KTR untuk mempersembahkan bakat seni terpendam dalam bentuk nyanyian, tarian dan bermain alatan muzik. Aktiviti yang mendapat sambutan luar biasa ini dimeriahkan dengan penyertaan sebanyak 13 peserta, yang bertanding secara solo mahupun berkumpulan. Kumpulan Triple J yang terdiri daripada Zainal Hadi Bin Zakaria, Johanan Joshua Vincent dan Jeevan Devamarcus Johnson telah dinobatkan sebagai pemenang utama Razak Got Talent.
Hari terakhir FIGURA ’22 dihangatkan dengan aktiviti lasak seperti Enggang Games dan bengkel SolidWorks. Enggang Games merupakan aktiviti lasak yang mencabar keupayaan mental dan fizikal peserta. Aktiviti yang mempunyai konsep mirip rancangan terkenal Squid Game, berjaya menarik minat peserta-peserta dari setiap kolej kediaman di UTM.
Sementara itu, Bengkel SolidWorks berjalan lancar dan menarik minat warga KTR yang rata-ratanya merupakan pelajar Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (SKM) Fakulti Kejuruteraan UTM. Wakil dari SS ROVER SDN BHD, iaitu Encik Syamsul Nizam bin Azmee bertindak sebagai pembimbing dan fasilitator sepanjang bengkel berlangsung. Penganjuran bengkel ini dilihat sedikit sebanyak memantapkan lagi kemahiran warga KTR mengenai penggunaan perisian kejuruteraan SolidWorks.
Secara kesimpulannya, objektif program untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti-aktiviti bercorak keusahawanan, kepimpinan, kebudayaan, sukan dan rekreasi tercapai dengan penganjuran program FIGURA ’22 ini. Secara tidak langsung, FIGURA ’22 dilihat sebagai platform pembangunan pelajar yang berkesan, seterusnya mencapai hasrat universiti dalam melahirkan modal insan berminda kelas pertama dan bertaraf dunia.