November 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 11 Jun –  Unit Kebudayaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Teens ‘N’ Theatre, sebuah persatuan mahasiswa berkaitan dengan pementasan teater telah menganjurkan Teater Muzikal Untaian Tirai Memori Sanjungan Bangsa.

Pementasan teater yang berkisar mengenai sejarah kewujudan UTM ini telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Pengurus Produksi Teater, Muhamad Adli Nur Hazwan berkata aktiviti pementasan ini adalah salah satu daripada program kecil di bawah agenda Ulangtahun UTM ke-50 dengan paparan mengenai kecemerlangan dan juga sejarah penubuhan universiti ini.

“Kami juga cuba menonjolkan tokoh penting di sebalik penubuhan UTM iaitu Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid dan juga monumen penting universiti iaitu Loh Hijrah untuk tatapan penonton yang hadir.

“Selain sejarah, teater ini juga memaparkan berkenaan dengan sumbangan UTM kepada komuniti serta kejayaan universiti ini dalam arena pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan, dalam masa yang sama turut menyentuh mengenai kisah mahasiswa ketika mengikuti pengajian,” katanya lagi.

Paparan kisah mahasiswa ini juga membolehkan penonton menyelusuri kehidupan sebagai seorang pelajar UTM menerusi beberapa babak dalam pementasan ini.

Ditanya mengenai kepentingan teater dalam memaparkan elemen-elemen sejarah, Muhamad Adli berkata pihak universiti sewajarnya perlu memberikan perhatian yang serius dengan menggalakkan lebih banyak pementasan berkaitan dengan sejarah dan tokoh negara.

“Teater mengenai sejarah dan tokoh negara perlu diketengahkan dalam usaha mendedahkan kepada rakyat dalam bentuk yang mudah diikuti dan difahami terutama oleh generasi muda”.

“Bagi menjayakan agenda ini, ahli akademik dan penggiat seni perlu meningkatkan kerjasama bagi mengetengahkan lebih banyak hasil kajian berkaitan sejarah dan tokoh negara dalam bentuk pementasan teater,” ujarnya melontarkan pendapat.

Bagaimanapun, katanya, maklumat diketengahkan yang berkaitan sejarah dan tokoh negara perlu terlebih dahulu dipastikan kesahihannya selain tidak dimanipulasi untuk kepentingan tertentu serta ditokok tambah.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan kisah mengenai tokoh terbabit hanya boleh didapati dalam bentuk bahan bacaan dan tidak menarik minat generasi muda untuk mengkaji serta mengetahuinya secara lebih mendalam.

“Justeru, sekiranya kisah sebegini diangkat menjadi pementasan teater mahupun dibawa ke layar perak, ia semestinya bakal menyajikan satu format yang lebih menarik untuk diikuti serta mudah difahami.

“Secara tidak langsung, ia juga akan mewujudkan satu bentuk hiburan yang bersifat ilmiah, seterusnya boleh dijadikan bahan rujukan buat pihak lain, sama ada bagi tujuan kajian, pembelajaran mahupun tontonan sendiri,” katanya.

Turut hadir menyaksikan pementasan teater adalah Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail dan Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), En. Arman Md Yasin.

Imej latarbelakang kampus Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh digunakan penerbit bagi menggambarkan sejarah penubuhan UTM dengan lebih berkesan di dalam babak 2 pementasan teater ini.

Explore More