April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pasangan Ibu Anak Kongsi Kegembiraan Graduasi Bersama

Pasangan ibu dan anak mencatatkan memori indah apabila berkongsi pentas menerima ijazah masing-masing.

Zuriati binti Janin, 50 menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kajian kejuruteraan dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak di UTM,KL manakala anak kedua beliau, Nisrina Zahid,22 memperoleh Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

Zuriati yang juga merupakan Pensyarah di Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, beliau berasa amat bersyukur kerana akhirnya dapat menggenggam Ijazah PhD yang menjadi impian beliau sejak hampir sepuluh tahun yang lalu.

“10 tahun yang lalu, cita-cita saya untuk menamatkan pelajaran PhD tidak kesampaian apabila saya terpaksa berhenti di tengah jalan ekoran daripada situasi yang tidak beberapa mengizinkan ketika itu.

Namun pada hari ini, siapa sangka, saya akhirnya diberikan rezeki untuk meraikan kejayaan saya dalam menamatkan pelajaran bersama-sama dengan anak perempuan saya,”kata beliau.

Menilai dari sudut perspektif seorang anak pula, Nisrina turut berkongsi rasa bangga beliau terhadap ibunya yang sentiasa menunjukkan semangat juang yang dan disiplin yang tinggi membahagikan masa dalam menguruskan keluarga, kerjaya dan pelajaran.

Nisrina juga mengakui, berada di dalam bidang yang sama dengan kepakaran ibunya telah banyak memberikannya kelebihan dari segi pelajaran.

Zuriati Janin mengulas lanjut, “Walaupun saya dan Nisrina berada dalam cabang yang berlainan, saya tetap cuba untuk memberi sokongan kepada beliau dari segi ilmu asas dalam bidang kejuruteraan,”

Lebih membanggakan, Nisrina  berjaya membuktikan kelebihan yang diperolehinya itu telah digunakan sebaik mungkin apabila beliau dengan jayanya menamatkan pengajian diploma dengan menerima Anugerah Dekan.

Zuriati Janin dalam pada itu berkata, “Sebagai seorang insan, terutamanya apabila membuat keputusan melibatkan masa depan khususnya berkaitan pelajaran, teguhkanlah pendirian.

Fikirkan apa sebenarnya yang kita mahukan dan jangan biarkan orang lain yang membuat keputusan untuk masa depan kita.

Apabila sudah tetap pendirian, teruskan langkah kehadapan sehingga ke garisan penamat tanpa perlu menoleh ke belakang. Sekiranya berdepan dengan ujian, bangkitlah dan teruskanlah sehingga kita benar – benar yakin kita sudah kecapi kejayaan yang kita impikan,” kata beliau.

Semoga kata- kata semangat tersebut dapat menjadi pembakar semangat dan ingatan kepada setiap individu di luar sana untuk menggapai kejayaan yang diingini.

Explore More