April 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Mei – “Saya amat bergembira dan bersyukur kerana berjaya menghabiskan pengajian saya dengan cemerlang di UTM”.

Demikian kata-kata yang terungkap di bibir Adib Atmam bin Yahya, 26, seorang pejuang kanser paru-paru tahap 4 yang berjaya menggenggam segulung Ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-65 yang disempurnakan oleh Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail pada petang Selasa.

Adib Atmam, 26, menerima skrol ijazah daripada Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM pada sidang ke-7 Majlis Konvokesyen UTM Ke-65.

Berkongsi pengalamannya, pemuda cekal kelahiran Johor Bahru itu sebenarnya hanya sedar beliau mengidap kanser baru-baru ini.

Mengakui terkejut selepas mengetahui keputusan dialisis oleh doktor pada Khamis lepas yang menyatakan dirinya menghidap kanser kerana tiada ahli keluarga lain ada penyakit itu sebelum ini, Adib menerima dengan redha dan hati yang terbuka serta percaya akan hikmah di sebalik ujian yang menimpanya pada usia muda ini.

Sebagai anak bongsu daripada enam beradik, beliau bangga dan terharu kerana dapat menghadiahkan kejayaan kepada ahli keluarga terutamanya ibu dan bapanya yang sudah menjangkau usia warga emas.

Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, malah Adib sangat aktif dan gemar melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukan dan program di peringkat kolej mahupun universiti seawal tahun 1 pengajian untuk menimba pengalaman di samping mengasah soft skillnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu menzahirkan perasaan syukur atas kerjasama dan peluang yang diberikan oleh para pensyarah dan rakan-rakan sepanjang beliau menuntut di UTM.

“Setiap penyakit pasti ada penawarnya”, tambah beliau yang bertanggapan bahawa para pelajar yang mengalami situasi dan keadaan yang sama perlu cekal dan gigih demi mencapai cita-cita sendiri.

“Saya hampir berputus asa dan ingin berhenti kerja selepas dapat tahu akan keputusan kanser tersebut”, tambah Adib yang juga merupakan seorang jurutera di VS Industry Berhad yang baru sahaja lima bulan memulakan karier beliau dalam industri.

Dorongan dan sokongan padu yang diberikan oleh rakan sekerja dan ahli keluarga membantu beliau untuk meneruskan cita-citanya itu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menganggap masalah kesihatan ini sebagai penghalang untuk terus berjaya dalam bidang kejuruteraan kerana beliau percaya bahawa “harapan tak putus sampai jerat tersentak rantus”.

Adib Atmam merakamkan detik manis bersama ahli keluarganya yang turut hadir pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-65 petang tadi.

Sebagai seorang yang baru disahkan menghidap kanser, Adib meminta untuk rakan-rakan seperjuangan yang memiliki nasib yang sama untuk kuatkan semangat dan teruskan kehidupan untuk mengejar impian yang diimpikan untuk membanggakan orang sekeliling.

“Kenang semula matlamat dan cita-cita kita ketika mula-mula menjejakkan kaki di UTM”, katanya yang mengharapkan agar semua pelajar dan bakal graduan pada masa hadapan untuk mengambil peluang mereka dapat menjejak kaki di universiti berbanding pelajar lain yang mungkin tidak bernasib baik untuk menyambung pengajian ke menara gading pada hari ini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu turut menyatakan hasrat untuk fokus akan kariernya sekarang sebagai seorang jurutera dan terus berbakti kepada masyarakat sekeliling.

3 orang adik-beradiknya turut bersama hadir pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-65 di Dewan Sultan Iskandar.

Tahniah diucapkan kepada Adib dan rakan-rakan seperjuangan yang tidak mengenal erti mengalah dan semoga kejayaan ini menjadi titik permulaaan untuk bakal graduan di luar sana merealisasikan impian mereka.

Explore More