Disember 28, 2024

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Seramai 16 orang graduan Sarjana bagi Program Pendidikan Transnational Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dilaksanakan di Sudan telah menerima skrol masing-masing di Majlis Konvokesyen (MK) ke-65 universiti itu semalam.

Dekan Fakulti Teknologi Informatik Razak (FTIR) UTM, Prof. Madya Ts Dr Mohd Nazri Mahrin berkata kesemua graduan ini telah mengikuti program Sarjana Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan selama empat semester di Khartoum, Sudan.

“Program yang bermula pada tahun 2018 ini adalah kelolaan bersama FTIR dan juga Safat Academy, Sudan. 

Kesemua mahasiswa yang memasuki pengajian di bawah program ini mengikuti pengajian masing-masing di Sudan.

Tenaga pengajar yang didatangkan dari FTIR pula pergi ke Sudan bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dari sana,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi penganugerahan ijazah kepada semua graduan program ini di MK-65 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru semalam.

Dr Mohd Nazri berkata kerjasama antara FTIR dan Safat Academy telah bermula sejak 2012 di mana beberapa lawatan dari beberapa staf UTM telah ke negara itu bagi membuat lawatan dan hasilnya pada 24 April 2014 satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan syarikat Sudan Master Technology (SMT) untuk menubuhkankan Sudan-UTM International Centre of Engineering & Management (Sudan-UTM ICEM) dengan kerjasama Sudan University of Science & Technology (SUST).

“Sudan-UTM ICEM dijangka akan menjadi pusat serantau bagi penganjuran pelbagai kursus pendek dan program akademik UTM.

Program pasca-siswazah di Sudan dimulai dengan program Sarjana Sains (Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan) setelah Safat Academy berminat untuk berkolaborasi dengan UTM bagi menganjurkan program ini,” tambahnya lagi.

Pada 2019 satu lagi MoU telah ditandatangani antara UTM dan Safat Academy untuk jangka masa lima tahun bagi menjalankan dua program transnasional di Sudan iaitu Master of Engineering Business Management (MEBM) dan Engineering Doctorate (Engineering Business Management) (EngDoc) di Khartoum, Sudan.

“Dalam tahun 2019 juga seramai 18 pelajar MEBM dan 11 EngDoc untuk sesi pengambilan pertama telah mendaftar diikuti 32 orang lagi bagi kedua-dua program bagi sesi pengambilan kedua.

“Seramai 16 pelajar MEBM bagi pengambilan pertama telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2021 lalu meninggalkan baki seramai 40 orang mahasiswa lagi yang sedang menuntut dalam program ini di Sudan,” katanya.

Menyentuh mengenai masa hadapan program ini, Dr Mohd Nazri berkata kerjasama yang erat ini akan diteruskan pada masa hadapan. “Kerjasama yang erat di antara UTM dan Safat Academy ini akan diteruskan bagi memperbanyakkan lagi program UTM di luar Negara,” katanya lagi.

Graduan sulung bagi program Program Pendidikan Transnational UTM-Sudan berjaya menamatkan pengajian dengan dan menghadiri MK-65 UTM.

Explore More