April 29, 2024

Search
Close this search box.

Sebuah bengkel pembangunan potensi mahasiswa/mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dianjurkan oleh Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) iaitu Bengkel Pengacaraan Majlis yang disampaikan oleh Encik Zamir Azfar Ab Rahim.

Bengkel ini telah berlangsung secara dalam talian menggunakan platform Cisco Webex dan FB Live SEJATI sekitar pukul 2:30 petang hingga 5:30 petang dan terbuka kepada seluruh mahasiswa UTM.

Encik Zamir Azfar Ab Rahim menyandang jawatan selaku Penolong Pengurus, Jabatan Pendidikan Kewangan Sektor Mikro dan PKS, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau menyertai AKPK pada November 2021 dengan pengalaman lebih 6 tahun dalam bidang latihan dan pembangunan, komunikasi korporat, perhubungan awam dan perancangan strategik.

Sebelum menyertai AKPK, Encik Zamir mengetuai Unit Komunikasi Korporat dalam Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) sejak 2017.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengacaraan, moderator dan pengucapan awam.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh saudari Siti Aisah Binti A.Rahman selaku moderator bengkel ini. Siti Aisah merupakan pelajar Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Fizik.

Sebagai moderator, Siti Aisah bijak dalam menyusun kata-kata dan peta berinteraksi dengan penceramah dan para peserta bengkel. Pengarah bagi bengkel ini adalah Nur Farah Syafeeqah Binti Ahmad Saiful Bahree yang juga merupakan ahli Exco Protokol SEJATI.

Tujuan penganjuran bengkel ini adalah untuk memberikan kefahaman kepada peserta tentang cara pengacaraan majlis dengan betul mengikut amalan protokol semasa.

Peserta juga didedahkan akan perbezaan tugasan selaku pengerusi majlis dan pengacara majlis di mana kedua-dua istilah ini selalu disalah tafsirkan oleh pelajar.

Hal ini akan dapat mengembangkan pengetahuan sedia ada mereka dan membangun potensi diri seperti kemahiran berkomunikasi secara profesional.

Kemahiran ini penting kepada mahasiswa bukan sahaja untuk mengendalikan sesebuah majlis malah menjadikan mereka seorang pekerja yang bijak dalam penyusunan kata-kata dalam berinteraksi dengan orang sekeliling.

Sesi Perkongsian daripada Encik Zamir

Semasa bengkel berlangsung, Encik Zamir telah berkongsi ciri-ciri, protokol dan teknik pengacaraan majlis yang baik. Beliau memberitahu bahawa seorang pengacara majlis harusnya peka akan perjalanan majlis daripada awal sehingga akhir dan sangat berkait rapat dengan AJK protokol.

Selain itu, pengacara majlis perlulah peka dari aspek penggunaan bahasa seperti panggilan hormat.

Seterusnya, pengacara majlis mesti memiliki personaliti yang menarik seperti pemilihan pakaian perlu sesuai mengikut formaliti sesebuah majlis. Tambahan lagi, penting untuk pengacara majlis itu kekal tenang, peka terhadap sebarang perubahan mendadak, bijak bermain emosi dan bahasa serta kreatif.

Sambutan Hangat Menerusi Platform FB Live SEJATI

Perkongsian ilmu daripada Encik Zamir sepanjang hampir 2 jam itu mendapat sambutan hangat. Peserta sangat tertarik dengan perisian bengkel di mana Encik Zamir tidak henti-henti di hujani dengan pertanyaan daripada kedua-dua platform online tersebut.

Ada juga dalam kalangan peserta yang sudah berpengalaman dalam bidang pencara majlis semenanjak dari bangku sekolah dan ada juga peserta yang baru hendak berjinak dalam bidang ini. Bengkel ini sangat berguna dan mendapat sambutan positif daripada semua mahasiswa/mahasiswi UTM.

Peserta Bengkel Pengacaraan Majlis Menerusi Platform Cisco Webex

Explore More