November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 Apr. – Kebolehan berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat merupakan satu kelebihan yang sukar dijumpai dan sangat berharga. Seseorang yang berkebolehan untuk berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat mampu merapatkan jurang di antara golongan khas ini dengan masyarakat sekeliling. Golongan khas yang dimaksudkan adalah golongan bisu dan pekak.

Justeru, Persatuan Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dengan sukacitanya mengadakan Bengkel Sign Language dengan matlamat untuk berkongsi tips dan teknik bahasa isyarat kepada para pelajar UTM dan mendedahkan kepada mereka tentang kepentingan mempelajari bahasa isyarat.

Bengkel ini disampaikan oleh Cikgu Suhaili Binti Abd Ghani, Guru Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Pendidikan Pendidikan Khas Kg. Baru, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau mula berkhidmat sebagai Guru Pendidikan Khas sejak tahun 1998 dan telah muncul di pelbagai rancangan TV pendidikan bagi pendidikan khas seperti Rakaman Bahasa Isyarat Rancangan TV Pendidikan  KPM, Rancangan TV3 Program Soal Rakyat Pendidikan Berkualiti Untuk MBK dan Slot Teroka Didik TV Menengah Atas Pendidikan Khas.

Program dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program, Nor Aina Binti Madon, pelajar tahun 2 yang juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI).

Sesi ucapan daripada Pengarah Program, Nor Aina Binti Madon

Sepanjang program, banyak perkongsian telah disampaikan oleh Cikgu Suhaili berkenaan penggunaan asas bahasa isyarat seperti huruf-huruf dalam bahasa isyarat, kata-kata sifat dan ucapan seharian. Peserta pula dilihat bersemangat dengan menyertai program secara aktif.

Cikgu Suhaili berkongsikan tentang makanan dan minuman dalam bahasa isyarat

Selesai sesi perkongsian oleh Cikgu Suhaili, program diteruskan dengan sesi cabutan bertuah yang menyajikan para peserta dengan pelbagai hadiah menarik.

Sesi cabutan bertuah

Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama Cikgu Suhaili, barisan ahli jawatankuasa dan para peserta. Tepat jam 4.00 petang, program telah selesai dengan jayanya.

Sesi bergambar bersama Cikgu Suhaili, ahli jawatankuasa dan para peserta

SEJATI berharap dengan pelaksanaan program ini ia bukan sahaja dapat mendedahkan para pelajar UTM akan kepentingan bahasa isyarat, namun merapatkan lagi jurang pertalian bersama komuniti khas ini iaitu golongan bisu dan pekak.

Explore More