November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 14 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyambut ulangtahun penubuhan yang ke-50 pada hari ini dengan tekad dan iltizam untuk terus unggul sebagai institusi pengajian tinggi negara.

Ia bakal dicapai menerusi pemerkasaan akademik dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara yang cemerlang dan menjadi ‘leading university’

Program Pelancaran UTM 50 tahun tersebut telah disempurnakan oleh Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah Ahmarhum Sultan Idris Shah.

Sempena ulang tahun ke-50, 93 program telah dirancang dan akan dilaksanakan termasuk Majlis Makan Malam DiRaja (UTM Royal Gala Dinner) pada bulan Julai dengan tujuan untuk mengumpul dana khusus untuk pelajar berkeperluan (B40) serta Pameran Khazanah Berimpak Universiti: 50 Tahun UTM, Pameran Sejarah Masjid UTM dan Alumni Homecoming.

UTM mula bertapak seawal tahun 1904, dari Sekolah Teknik Treacher yang kemudiannya dinaik taraf kepada Maktab Teknik pada 1946. Institusi ini dinaik taraf kepada Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) berstatus Universiti pada tahun 1972 dan seterusnya mencipta sejarah apabila diisytiharkan dengan nama baharu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Badlishah.

Bertitik tolak daripada pengiktirafan oleh kerajaan kepada UTM sebagai Universiti Penyelidikan pada tahun 2010, UTM terus melangkah lebih jauh dalam menghasilkan produk penyelidikan yang berimpak tinggi untuk dimanfaatkan kepada masyarakat terutamanya dalam menaik taraf hidup dan menyelesaikan masalah dalam komuniti dengan tidak mengabaikan inovasi dalam pendidikan.

Kini, UTM melalui perkhidmatan teras iaitu akademik dan penyelidikan telah memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu pembangunan negara, menyelesaikan masalah komuniti dan melahirkan pelbagai graduan yang kini berkhidmat sebagai pemimpin di serata dunia.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapan alu-aluannya berkata, UTM jika diteliti dari segi garis masa dan sejarahnya adalah universiti sanjungan bangsa yang telah banyak menyumbang jasa dalam membangunkan bangsa dan tanah air.

“Meraikan 50 tahun UTM begitu nostalgik jika kita hayati asas perjuangan yang mendasari matlamat penubuhan universiti ini yang bertunjangkan kata-kata keramat ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’ yang sentiasa mendukung falsafah keilmuan, visi dan misi UTM.

Naib Canselor UTM ketika berucap pada Majlis Pelancaran sambutan 50 tahun UTM di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi.

“Sebagai penyambung legasi kecemerlangan UTM, setiap warganya perlu memperkasakan jati diri di samping mengamalkan pasca kempimpinan 50 tahun penubuhan universiti ini melalui lima nilai iaitu amanah, empati, terbuka, telus dan jati diri. 

Warga universiti ini juga perlu memperkasakan nilai teras UTM iaitu integriti, sinergi, kecemerlangan dan lestari yang turut dikenali sebagai ISES,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru sempena pelancaran UTM 50 tahun yang juga turut dihadiri oleh Pro Canselor, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

Prof. Fauzi berkata berkat komitmen dan kerjasama semua pihak, transisi peralihan bagi pelan strategik universiti daripada Pelan Global Universiti 2012-2020 kepada enVision UTM 2025 dapat berjalan dengan jayanya.

Majlis perasmian diserikan dengan tarian ‘Robot Panglima’ yang dikendalikan oleh pasukan Robocon UTM

“Marilah kita bersatu hati memugarkan enVision UTM 2025 dengan menjayakan Lima Agenda Perdana (#5 Big Things) yang telah dilancarkan iaitu Penyampaian Perkhidmatan Berkualiti Tinggi (HQD), Komitmen pada tugasan Akademik dan Penyelidikan, Pemerkasaan Bidang Tujahan, Pengukuhan Kolaborasi Sinergistik Universiti dan Komuniti dan juga Mempertingkatkan Kerjasama Global yang Praktikal.

“Bangkitlah warga UTM dan laksanakanlah amanah besar ini dalam bekerja dengan budaya pasca 50 tahun ini iaitu pantas, kerjasama dan berdaya tahan.  Jadikanlah universiti ini sebagai platform terbaik untuk menjana minda kreatif dan inovatif dalam pembangunan kerjaya akademik, pentadbiran dan profesional,” katanya lagi.

DYMM Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah meletakkan plak 50 tahun UTM sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan 50 tahun UTM di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi.

Explore More